Hajiji mendengar cadangan yang dibentangkan oleh Profesor Madya Dr. Sarma Mohd. Imran Aralas dari Pusat Pembangunan dan Dasar Ekonomi (CEDP), UMS.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan mengambil kira cadangan penyelidikan Model Ekonomi Sabah baharu oleh Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut untuk Kajian Pembangunan (IDS) Sabah.
“Kami terbuka kepada cadangan untuk membantu ekonomi negeri berkembang lebih baik,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor selepas diberi taklimat mengenai cadangan itu di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Beliau juga menggesa SEAC untuk menjalankan penyelidikan menyeluruh melalui libat urus dengan semua kementerian negeri dan pihak berkepentingan.
Hadir pada taklimat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, ahli SEAC diketuai Pengerusi, Tan Sri David Chu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Profesor Datuk Dr Ramzah Dambul serta pegawai kanan Unit Perancang Ekonomi Negeri.


































