BANGKOK: Thailand mencadangkan satu rang undang-undang (RUU) baharu yang bertujuan mengawal industri kanabis dan mengehadkan penggunaan ganja hanya untuk tujuan perubatan dan kesihatan.
Menurut Utusan Malaysia, RUU itu diterbitkan awal minggu ini (16 hingga 18 September) oleh Kementerian Kesihatan Awam, hanya beberapa hari selepas pentadbiran baharu Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra mengambil alih tampuk pemerintahan.
Usul itu adalah langkah terkini kerajaan untuk mengawal penggunaan rekreasi ganja selepas beberapa kali dasar berkaitan ganja diubah.
Berdasarkan RUU itu, kanabis dan ekstraknya hanya dibenarkan untuk rawatan perubatan dan penyelidikan oleh agensi kerajaan serta penggunaannya dalam produk herba, makanan dan kosmetik.
Berbanding usaha kerajaan terdahulu untuk mengawal industri ini, RUU baharu dilihat lebih mesra terhadap industri kanabis.
Sebagai contoh, ia tidak lagi mengandungi klausa yang secara jelas mengharamkan penggunaan kanabis untuk tujuan rekreasi, yang pernah dicadangkan oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Srettha Thavisin.
Pindaan ini juga bermakna kerajaan baharu tidak mengklasifikasikan semula ganja sebagai ‘narkotik’.
Namun, sesiapa yang menggunakan kanabis atau ekstraknya untuk tujuan yang tidak dinyatakan dalam RUU akan dikenakan denda sehinga 60,000 baht (RM7,586).
Penjual ganja atau produk yang mengandungi ganja untuk kegunaan yang tidak dibenarkan pula boleh berdepan hukuman penjara maksimum satu tahun atau dengan 100,00 baht (RM12,644) atau kedua-duanya sekali.
































