Seorang warga emas menunggang basikal melalui lintasan rel kereta api Stesen Komuter Pelabuhan Klang yang dilimpahi air laut pasang besar, di Klang, Selangor, hari ini.
KLANG: Fenomena air laut pasang besar dijangka berlarutan sehingga esok, bagaimanapun jangkaan ketinggian paras air dikatakan berada pada 5.7 meter lebih rendah berbanding 5.8 pada hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, tinjauan di sekitar kawasan utama seperti Pelabuhan Klang mendapati tidak menjejaskan operasi perniagaan termasuk pengangkutan awam seperti feri Pulau Ketam dan Komuter apabila kedai-kedai juga dibuka seperti biasa walaupun sebahagian jalan di sana digenangi air bermula pukul 6.45 pagi dan surut sepenuhnya sekira pukul 9 pagi.
Limpahan air turut kelihatan di pekarangan Ibu pejabat Jabatan Laut Malaysia dan Balai Polis Pelabuhan Klang.
Bagaimanapun, keadaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama di susur bertingkat Lebuhraya Selat Klang Utara dan Pintasan Baharu Selat Klang Utara serta kilometer 3.4 Lebuhraya Selat Klang Utara di Bandar Sultan Suleiman dan di Jalan Parang pada susur Lebuh Sultan Abdul Samad.
Situasi sama turut dilaporkan di Lebuh Pulau Indah apabila sebahagian kawasan berdekatan paya bakau turut dilimpahi air laut.
Seorang petugas di jeti tersebut, Muhammad Haikal, 20, berkata air pasang hari ini merupakan hari kedua dengan ketinggian dilaporkan mencecah 5.8 meter.
“Semalam naik dan juga melimpah sehingga ke jalan raya, tetapi ketinggiannya cuma 5.7 meter. Hari ini naik lebih tinggi sehingga pukul 7.30 dan mula surut pada pukul 8. Bagaimanapun operasi feri bagi perjalanan ke Pulau Ketam tetap berjalan seperti biasa,” katanya ketika ditemui.
Bagi peniaga kedai makan, Anisha, 60, memaklumkan perniagaannya bermula lewat apabila limpahan air masuk premisnya sehingga menyebabkan bekalan elektrik ditutup sementara.
“Tak boleh buka kedai hari ini (semalam), semalam (kelmarin) masih boleh. Kita tunggu air surut dulu mungkin dalam pukul 8 atau 9 sudah boleh buka. Terpaksalah buat macam itu sebab bekalan elektrik pun ditutup.
“Lagi pun hari ini air naik lebih tinggi sampai ular berbisa pun muncul, mujur sempat tangkap. Air pasang biasa berlaku, cuma parasnya tinggi atau tidak,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Klang, Amri Ismail memaklumkan, pihaknya menerusi Bilik Operasi Bencana meneruskan pemantauan rapi air pasang besar yang diramal berlaku sehingga esok.
“Klang sentiasa berisiko tinggi kerana di lokasi hujung di Selangor dengan menerima kuantiti aliran air yang tinggi selain air pasang laut.
“Justeru, kita mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) diselia Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selain lokasi dipantau agensi seperti bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” ujarnya.
Kawasan-kawasan utama di sepanjang pesisiran Pantai Barat negeri ini alami limpahan air berikutan fenomena air laut pasang besar pada ketinggian 5.8 meter pada awal pagi semalam.
Fenomena tersebut dilaporkan bermula sejak 17 September lalu dengan ketinggian air antara 5.6 hingga 5.7 meter menyebabkan kawasan seperti Sabak Bernam, Sekinchan, Kuala Selangor, Pelabuhan Klang dan Kuala Langat banjir.
Kuala Selangor
Di Kuala Selangor, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang dibuka pada pukul 9.30 pagi Khamis lalu apabila air pasang menyebabkan 35 keluarga terdiri daripada 100 mangsa termasuk 21 warga emas dan 16 kanak-kanak terjejas.
Laporan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Selangor itu memaklumkan mereka dibantu 10 anggota dan pegawai penyelamat dari pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Rela terlibat membantu operasi menyelamat tersebut.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor memberitahu, seramai 54 pegawai dan anggota membuat pemantauan termasuk melakukan operasi menyelamat terutama di kawasan ini.
Selain itu, pasukan penyelamat itu turut memantau di keseluruhan kawasan Pantai Barat negeri ini menerusi sembilan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Sabak Bernam, Sekinchan, Tanjong Karang, Kapar, Klang Utara, Pelabuhan Klang, Pulau Indah, Teluk Panglima Garang dan Banting.
Kuala Langat
Di Kuala Langat, berlaku limpahan air di kawasan peranginan seperti Pantai Morib, Pantai Kelanang dan serta Istana Bahgia di Morib serta Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat sehingga ke kawasan tempat letak kenderaan, tapak perkhemahan dan jalan utama.
Dalam pada itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kapten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh ketika dihubungi memberitahu pihaknya membuat kesiapsiagaan dua kali ganda sejak fenomena dilaporkan bermula Selasa lalu.
“Memang kita cubaan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana ketika air pasang besar pergerakan bot memasuki kawasan paya bakau lebih mudah. Namun, operasi pemantauan seperti biasa dilakukan.
“Selain itu, kami juga bersedia dengan sebarang kemungkinan banjir akibat pertembungan antara air pasang dengan cuaca hujan. Ada dua bot standby. Bagaimanapun, sehingga kini belum terima sebarang panggilan kecemasan. Saya yakin ramai penduduk di kawasan terjejas sudah bersedia,” ujarnya.