LAHAD DATU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menyerahkan tanah adat seluas 400 ekar yang berada dalam kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kepada penduduk di Kampung Tambisan.
Beliau berkata, memandangkan tanah adat itu melibatkan tanah milik Felda maka, penelitian akan dibuat bagi menyerahkan semula tanah berkenaan kepada penduduk kampung.
Katanya, beliau mahu dalam tempoh sebulan atau dua bulan ini, masalah tanah adat di Kampung Tambisan itu telah selesai.
“Kita tidak mahu jadi macam isu air di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kita mahu hari ini umum, minggu depan harus mula bekerja. Dalam tempoh satu atau dua bulan harus selesai masalah tanah adat di Kampung Tambisan ini. Kalau tidak selesai, tulis surat kepada saya,” katanya semasa berucap pada Karnival Segalanya Felda di Felda Sahabat, di sini kelmarin.
Menurut beliau, penduduk Felda telah menunggu berpuluh tahun untuk mendapat hak pemilikan tanah adat jadi, di bawah kerajaan Madani, beliau meluluskan untuk menyerahkan semula tanah adat dalam kawasan Felda kepada penduduk kampung.
“Saudara tunggu tanah adat berapa puluh tahun dah jadi, kita selesaikan hari ini. Bila ada kuasa kita selesaikan. Jangan bila dah hilang kuasa baru nak merepek sana sini.
“Saya luluskan (penyerahan tanah) dan saya minta nanti Felda berunding dengan kerajaan negeri. Kalau ada perkara libatkan keperluan (penduduk) Felda, saya akan selesaikan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut meluluskan pembinaan sebuah Pusat Dialisis di Felda Sahabat bagi memudahkan penduduk Felda menjalani rawatan penyakit buah pinggang.
Beliau turut menasihatkan penduduk Felda agar kurangkan pengambilan gula kerana jika dilihat, kadar pengambilan gula dan penyakit kencing manis di Malaysia antara paling tinggi di Asia.


































