PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia yang stabil dan harga yang terkawal membolehkan negara ini mengekalkan kadar faedah 3.0 peratus sepanjang 2024, walaupun bank pusat di negara lain mula melonggarkan dasar mereka, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut Utusan Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid dalam satu wawancara dengan Bloomberg Television bersama Rosalind Mathieson berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang sekitar lima peratus pada 2024, manakala inflasi tidak akan melebihi tiga peratus.
“Ini meletakkan Malaysia dalam unjuran rasmi yang digariskan oleh bank pusat awal tahun ini.
“Tiada sebab yang mendesak atau tekanan terhadap kadar faedah untuk bergerak dalam mana-mana arah pada peringkat ini, walaupun kita perlu terbuka untuk mempertimbangkan risiko di masa depan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan neutral ini membezakan Malaysia daripada rakan serantau di Asia Tenggara ketika Rizab Persekutuan AS bersiap sedia untuk memotong kadar faedah.
“BNM kali terakhir melaraskan kadar dasar semalaman pada Mei 2023, menamatkan kitaran pengetatan selama setahun yang menyaksikan peningkatan kadar faedah sebanyak 125 mata asas kepada tiga peratus.
“Di tempat lain dalam rantau ini, Filipina telah mengurangkan kos pinjaman daripada paras tertinggi dalam 17 tahun bulan lepas, manakala Indonesia dan Thailand memberi isyarat kesediaan untuk melonggarkan dasar monetari.
“Laluan kadar faedah Malaysia tahun depan kurang jelas dengan banyak faktor yang masih boleh mempengaruhi, terutamanya mengenai inflasi,” katanya.
Jelasnya, Bank pusat sedang memantau sebarang perubahan dasar domestik yang boleh memberi kesan kepada prospek pertumbuhan dan inflasi negara.
“BNM mempunyai alasan untuk berhati-hati dalam melonggarkan dasar monetari secara pramatang.
“Tekanan harga berisiko meningkat jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim meneruskan janjinya untuk menamatkan subsidi menyeluruh bagi petrol yang paling banyak digunakan di negara ini, satu langkah penting untuk memperkukuhkan kewangan kerajaan,” ujarnya.
Adnan berkata, Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan belum lagi menetapkan garis masa untuk langkah itu, dengan penganalisis semakin menjangkakan ia akan ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga penghujung 2024.
“Walau apa pun langkah yang diambil, kerajaan dijangka mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, dan mungkin sekitar 3.0 peratus sehingga 3.5 peratus pada 2025.
“Ia adalah satu komitmen yang memberi keyakinan kepada bank pusat kerana ia akan membantu memperkukuhkan asas ekonomi Malaysia dan paras ringgit sepatutnya mencerminkan perkara tersebut, katanya.
Sementara itu, beliau berkata, mata wang ringgit telah pulih daripada paras terendah dalam tempoh 26 tahun berbanding dolar yang dicapai pada Februari, muncul sebagai mata wang paling meningkat di kalangan pasaran membangun tahun ini.
“Ini sebahagiannya disebabkan oleh langkah-langkah bersepadu oleh kerajaan dan bank pusat untuk menggalakkan syarikat-syarikat mengembalikan pendapatan luar negara mereka.
“Ini sesuatu yang akan diteruskan walaupun ringgit telah stabil dan pulih dengan baik,” katanya.
Dari sudut luaran, beliau berkata, Malaysia dijangka mampu menghadapi sebarang kelembapan di China sebagai rakan dagang terbesar negara itu atau risiko perang perdagangan global, hasil daripada ekonominya yang pelbagai.
“Faktor domestik juga membantu meningkatkan pertumbuhan.
“BNM sedang berusaha untuk menarik pelabur ke pasaran bon Islam negara, yang bernilai kira-kira AS$260 bilion (kira-kira RM1.13 trilion), dengan meletakkannya sebagai pelaburan hijau dan mampan,” katanya.
Tambahnya, potensi reaksi terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berada dalam radar BNM, tetapi bukan sesuatu yang menjadi kebimbangan besar buat masa ini.
“BNM akan memastikan strategi yang disokong adalah mampan dan telus.
“Malaysia menyaksikan minat yang semakin meningkat terhadap kewangan Islam dan berharap untuk membina hubungan di luar negara-negara Arab Teluk, termasuk United Kingdom (UK), serta negara-negara Afrika yang sedang membangun,” katanya.
































