Donald Trump
NEW YORK: Bekas Presiden Donald Trump tidak akan dijatuhi hukuman dalam kes jenayahnya di New York sehingga selepas Pilihan Raya 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Hakim Juan Merchan kelmarin menjelaskan, keputusan menangguhkan hukuman itu dibuat sebahagiannya bagi mengelak ia mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Presiden pada November ini.
Merchan dalam surat empat halaman mengenai keputusan tersebut menyatakan, beliau akan menjatuhkan hukuman ke atas Trump pada 26 November ini jika perlu, sebagai respons kepada permohonan peguam bekas Presiden tersebut untuk menangguhkan hukuman berkenaan.
“Penangguhan hukuman ini diputuskan supaya ia tidak memberikan kelebihan atau menjejaskan mana-mana parti politik atau mana-mana calon untuk mana-mana jawatan,” tulis beliau seperti laporan CNN.
Selain menangguhkan hukuman, Merchan juga akan memutuskan mengenai permohonan Trump untuk membatalkan sabitan berikutan keputusan kekebalan Presiden dan bekas Presiden pada 12 November ini yang juga selepas pilihan raya.
Trump sebagai reaksinya, menyatakan penghargaan kepada Merchan atas penangguhan tersebut dan penggunaan perkataan ‘jika perlu’.
“Saya sangat menghargai surat daripada Merchan. Beliau menggunakan perkataan ‘jika perlu’. Kes ini sepatutnya diakhiri dengan segera,” kata Trump semasa ucapan kepada Fraternal Order of Police di North Carolina.
Calon Presiden dari Parti Republikan itu disabitkan bersalah pada bulan Mei lalu atas 34 tuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menutup pembayaran wang sulit kepada bintang filem porno yang mendakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.
Namun, hukuman terhadapnya ditangguhkan selama beberapa bulan selepas peguam Trump meminta supaya sabitan itu dibatalkan berikutan keputusan Mahkamah Agung mengenai kekebalan Presiden dan bekas Presiden.