BANGKOK: Seorang guru di Thailand dipecat selepas dia mencukur rambut pelajar-pelajar sehingga mereka botak di tengah kepala, satu hukuman yang mencetuskan kritikan meluas dalam talian.
Menurut Utusan Malaysia, Thaich8 News melaporkan, pada 23 Ogos lalu, seorang guru dari jabatan kejuruteraan mekanikal di Kolej Teknikal Maesod di barat Thailand mendakwa sebanyak 66 pelajar gagal mengikut peraturan sekolah kerana berambut panjang.
Sebagai hukuman, dia mencukur rambut semua pelajar tersebut, mengakibatkan kepala mereka botak di tengah.
Bukan setakat itu, guru tersebut juga dituduh menggunakan senjata api untuk mengugut pelajar.
Kolej Teknikal Maesod menyatakan, pihaknya memberhentikan guru tersebut kerana tindakannya yang dianggap tidak bersesuaian dan berlebihan.
Thaich8 News juga melaporkan, pelajar-pelajar berkenaan telah dinasihatkan untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap guru tersebut, namun tiada tindakan susulan dilaporkan.
Insiden itu turut mencetuskan perbincangan hangat dalam media sosial.
“Guru ini tidak beretika. Pelajar-pelajar akan diejek disebabkab keadaan kepala mereka,” tulis seorang pengguna Facebook.
Seorang lagi pengguna yang mengulas mengenai kesan kesihatan mental berkata, seorang guru yang buruk boleh meninggalkan parut psikologi yang kekal pada pelajar.