Sh. Sitti Saleha Habib Yussof
KENINGAU: Seramai 104 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen semasa Operasi Penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, hari ini.
Mereka merupakan antara 159 orang yang diperiksa dalam operasi daripada jam 12.01 tengah malam sehingga 3.55 pagi itu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata, daripada 104 yang ditahan, seramai 87 termasuk 30 perempuan dan 26 kanak-kanak merupakan warga Indonesia, manakala 17 yang adalah warga Filipina termasuk tujuh perempuan dan lapan kanak-kanak.
“Kesemua yang ditahan berumur di antara 5 bulan hingga 89 tahun yang terdiri daripada 33 orang lelaki, 37 orang perempuan dan 34 orang kanak-kanak.
“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar, Sabah untuk siasatan dan tindakan susulan.
Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semasa serbuan dan pemeriksaan terdapat kejadian warga asing cuba melarikan diri dan bersembunyi daripada anggota operasi.
“Antara cabaran utama operasi adalah warga asing lebih peka terhadap pergerakan pegawai operasi di mana mereka menggunakan media sosial seperti aplikasi WhatsApp untuk menyebarkan maklumat semasa keberadaan pegawai operasi. Maklumat ini memberikan warga asing peluang untuk lari bersembunyi.
“Keadaan semasa serta bentuk muka bumi kawasan operasi yang berbukit, berlumpur dan merangkumi kawasan yang sangat luas turut menyukarkan aktiviti operasi,” jelasnya.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Beliau turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut,” katanya.
Operasi tersebut melibatkan 78 pegawai penguatkuasa iaitu 58 pegawai JIM Sabah dan 20 pegawai RELA.
JIM Sabah setakat bulan Julai tahun ini telah membuat sebanyak 1,066 operasi melibatkan 20,706 orang diperiksa dan 3,619 ditangkap
Seramai 31 majikan juga telah didakwa dalam tempoh tersebut.
Selain itu, seramai 4,150 orang tahanan juga telah dihantar pulang ke negara asal setakat bulan Julai tahun ini.
Program pemindahan ini dilakukan secara konsisten sekurang-kurangnya dua kali sebulan.


































