Anwar Ibrahim menghadap Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, semalam. Perdana Menteri berada di situ bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25 Malaysia dan Brunei. – Jabatan Perdana Menteri
PETALING JAYA: Sabah dan Sarawak bakal diberi kuasa autonomi untuk mengadakan hubungan langsung dengan Brunei dalam sektor pengangkutan dan pelancongan sekali gus memberi manfaat kepada Malaysia dan negara jiran itu.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah satu pendekatan berbeza berbanding dahulunya yang dilihat lebih praktikal memandangkan Sabah, Sarawak dan Brunei berkongsi sempadan.
Katanya, kerajaan juga mempunyai pendekatan berbeza dalam memastikan hubungan Malaysia-Brunei mampu memberi impak lebih berkesan kepada kedua-dua buah negara.
“Ada dua aspek, satu kita bertekad untuk meningkatkan hubungan itu dalam semua bidang yang mungkin dan kedua adalah kita mempunyai pendekatan agak berganjak daripada pendekatan dahulu.
“Kita meminta hubungan langsung dalam beberapa aspek walaupun tertakluk kepada keputusan muktamad (kerajaan) Persekutuan, antaranya hubungan langsung antara Brunei, Sabah dan Sarawak.
“Ini pendekatan praktikal kerana di sempadan juga (ada) keperluan untuk ditingkatkan hubungan pengangkutan dan pelancongan, (agar ia) boleh dimanfaatkan oleh Brunei serta Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25 Malaysia dan Brunei di Istana Nurul Iman, yang beliau sifatkan berjaya meningkatkan hubungan kerjasama antara kedua-dua negara.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dalam lawatan kerjanya selama dua hari bermula semalam, Anwar menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Brunei bersetuju meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pelancongan, pendidikan, pelaburan, sastera, teknologi dan ketenteraan.
“Saya juga akan menghubungi Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah supaya kerjasama (dari) segi ini yang mencakupi beberapa bidang lain itu juga dapat ditingkatkan.
“Antara dipersetujui ialah kerjasama dalam bidang pelancongan terutama Brunei, Sabah dan Sarawak,” katanya.
































