KUALA LUMPUR: Tiga pengawal keselamatan warga asing ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam serbuan di sebuah premis perniagaan selepas dipercayai memiliki MyKad palsu dalam Op Kutip di Petaling Jaya, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Bahagian Penguatkuasa JPN dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal mempercayai ketiga-tiga lelaki warga Filipina itu menggunakan MyKad palsu antara satu hingga dua tahun lalu.
“MyKad berkenaan diperoleh daripada ejen dengan harga RM200 hingga RM250 dan majikan pula tidak mengetahui pengawal keselamatan terbabit menggunakannya kerana tidak membuat semakan.
“Mereka disyaki menggunakan kad pengenalan berkenaan sebagai identiti diri bagi mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Menurut JPN, seorang daripada mereka memiliki pasport Filipina manakala dua lagi lelaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata, kesemua lelaki terbabit dipercayai tidak mempunyai sebarang pertalian keluarga walaupun datang dari wilayah sama iaitu Basilan, Filipina.
“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan tiada sebarang perhubungan. Ketiga-tiga individu berkenaan boleh dituduh mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda mencecah RM20,000,” katanya.
























