Pasukan van jenazah Abam Botak turut membantu menghantar jenazah menggunakan bot di Sandakan, Sabah.
KOTA KINABALU: Kesukaran mencari van jenazah pada hujung minggu dan bayaran mahal yang dikenakan, mendorong Yunizam Yusop, 38, memulakan perkhidmatan van jenazah percuma di Sandakan.
Menurut Utusan Malaysia, dia yang lebih dikenali sebagai Abam Botak, menyediakan khidmat van jenazah itu tanpa mengira kaum. Siapa pun waris keluarga yang memerlukan khidmatnya, dia akan datang untuk membantu menghantar jenazah ke lokasi pengebumian.
Kata Yunizam, sebelum ini, dia hanya menyediakan pengangkutan percuma untuk menghantar pesakit kurang berkemampuan untuk menjalani rawatan di hospital.
Kemudian pada 2018, ada waris keluarga memaklumkan pesakit yang sering dihantar ke hospital telah meninggal dunia dan memerlukan bantuan van jenazah.
“Memandangkan pada masa itu hujung minggu jadi, memang sukar untuk saya mendapatkan van jenazah. Kalau ada pun, bayaran dikenakan agak mahal kira-kira RM400. Waris keluarga bukannya orang senang, mereka memang tidak mampu untuk membayar kadar sebegitu.
“Sejak insiden itu, saya dan beberapa rakan terfikir untuk memulakan khidmat van jenazah percuma. Pada masa itu, saya hanya ada RM1,500 dalam tangan dan itulah modal yang saya gunakan untuk membaiki sebuah van.
“Kebetulan pula masa itu, saya terjumpa sebuah van yang dalam perjalanan untuk dilupuskan kerana sudah usang. Individu tersebut memberikan saya van itu tanpa mengambil sebarang bayaran. Dengan wang yang ada, saya gunakan untuk membaiki kerosakan yang dan mengecat semula van tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sejak daripada itu, perkhidmatan van jenazah Abam Botak mula bergerak ke setiap pelusuk kampung di Sandakan bagi membantu menghantar jenazah yang meninggal dunia sama ada ke tanah perkuburan Islam mahupun tapak pengebumian bukan Islam.
Yunizam berkata, sepanjang berkhidmat dalam kerja-kerja kebajikan sebegitu, sudah menjadi kebiasaan mereka terkandas dalam perjalanan apabila melalui jalan-jalan tanah merah yang rosak terutama ketika musim hujan. Malah, ada juga jenazah yang dihantar dengan menaiki perahu dan bot.
Berkongsi lanjut katanya, pasukannya pernah terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan menghantar jenazah dan beliau bersyukur ramai insan yang membantu termasuk menyelesaikan bayaran membaiki van jenazah yang rosak akibat kemalangan.
























