JOHOR BAHRU: Seorang wanita melompat keluar dari kereta bergerak gara-gara menganggap dirinya akan diculik pemandu Grab dalam kejadian 11 Ogos lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, perkara itu berlaku akibat salah faham apabila pemandu Grab itu mengubah laluan tanpa memaklumkan kepada penumpangnya.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan daripada pemandu Grab itu yang menyatakan telah mengambil seorang penumpang iaitu wanita tempatan pada pukul 4.50 petang di Taman Seroja untuk dihantar ke Kip Mall, Tampoi.
“Ketika dalam perjalanan, lelaki tempatan itu terpaksa mengubah laluan asal dan menuju ke arah Taman Perling untuk membuat pusingan U di Jalan Persisiran Perling setelah mendapati ada kerja penyelenggaraan jalan sedang dibuat ketika itu.
“Wanita itu pula yang mendapati pemandu Grab menggunakan laluan lain, dia kemudiannya terjun dari kereta yang sedang bergerak,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Balveer Singh, pemandu kereta itu segera berhenti untuk membantu, namun penumpang berkenaan telah dibawa ke hospital oleh orang awam.
“Pemandu Grab itu telah membuat laporan polis sebaik kejadian itu dan juga melaporkan kepada pihak Grab. Penumpang juga telah membuat laporan polis berkaitan kejadian itu.
“Siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian terbabit seperti tular insiden cubaan culik di media sosial membabitkan pemandu e-hailing baru-baru ini,” katanya.
Dalam pada itu, Balveer Singh menyarankan pemandu perkhidmatan pengangkutan memperbaiki komunikasi dengan penumpang dalam situasi yang memerlukan laluan alternatif.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, namun perlu berhati-hati dan tidak bertindak terburu-buru sehingga boleh mendatangkan risiko kepada diri sendiri dan orang lain.
“Jika berlaku situasi yang mencurigakan atau tidak dijangka, disarankan supaya berkomunikasi dengan pemandu atau pihak yang terlibat untuk mendapatkan penjelasan. Sekiranya masih merasa tidak selamat, hubungi pihak polis dengan segera,” katanya.
Terdahulu, tular satu tangkap layar memaparkan nama pemandu Grab yang dikatakan cuba menculik seorang penumpang menyebabkan wanita itu terjun dari kereta untuk menyelamatkan diri.
Dalam tangkap layar itu, turut dinyatakan bahawa pemandu Grab berkenaan telah menutup isyarat lokasi dan menukar kepada status ‘offline’ dalam aplikasi e-hailing itu.
































