Anwar Ibrahim
JOHOR BAHRU: Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 2.0 bakal diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM18 juta melibatkan seramai 300,000 orang penerima.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SIKR telah mula diperkenalkan tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan penerima manfaat khususnya masyarakat B40.
“Melihatkan kepada keberkesanan skim ini, serta manfaat yang diterima daripada waris-waris apabila ketua isi rumah (KIR) mereka meninggal dunia, maka insurans ini diteruskan pada tahun ini.
“Perlindungan selama 12 bulan ini akan diberikan kepada KIR yang terdiri daripada penerima golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan Pangkalan Data Kemiskinan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Peluncuran SIKR 2.0 semasa hadir merasmikan Majlis Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini kelmarin.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Tambah Anwar, perlindungan SIKR 2.0 ini bermula 1 Jun tahun ini hingga 31 Mei tahun depan.
“Setiap waris yang menerima skim insurans ini akan mendapat bantuan berjumlah RM10,500 masing-masing,” jelasnya.
Sementara itu, orang ramai yang ditemukan berharap pelaksanaan skim insurans tersebut akan diperluaskan lagi pada masa depan.
“Saya menyokong penuh skim insurans ini kerana ia sangat membantu bagi golongan B40 dan bawahan. Sekurang-kurangnya sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini kepada ketua keluarga, waris akan terima bantuan,” ujarnya kepada pemberita.
































