Armizan Mohd. Ali
PORT DICKSON: Sebanyak 4,324 laman web yang didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti jualan barangan tiruan pengedaran karya cetak rompak dan penawaran jualan langsung berunsurkan skim piramid telah diambil tindakan halangan akses (site blocking) sejak tahun 2018.
Tindakan itu hasil kerjasama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penyedia perkhidmatan internet (ISP) dalam memantau promosi dan pengiklanan perniagaan yang melibatkan transaksi dalam talian.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pada masa yang sama, Kerjasama turut diadakan Bersama penyedia platform e-dagang untuk menurunkan sebanyak 3,408 iklan yang melakukan kesalahan antaranya jualan barang kawalan melebihi harga diwartakan, jualan barangan tiruan dan penggunaan perkataan no palm oil ke aras produk tertentu.
Menurut beliau, perkara tersebut merupakan tindakan segera yang boleh diambil ke atas urus niaga yang dilakukan secara dalam talian ini dilakukan demi melindungi pengguna daripada manipulasi peniaga tidak beretika.
“Dalam pada kita melihat pendekatan jangka masa panjang untuk memperkemaskan undang-undang sedia da, kita tidak menunggu sebaliknya turut melakukan tindakan serta merta melalui dua pendekatan ini.
“Saya berharap pengguna dapat membuat aduan kepada KPDN terhadap apa juga transaksi yang dilihat mempunyai kesalahan dan bertentangan dengan perundangan sedia ada, kami dengan Kerjasama SKMM, ISP, penyedia platform e-dagang akan mengambil tindakan segera tanpa berdiam diri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Jualan Rahmah Madani Negeri Sembilan 2024 di Batu 1, di sini kelmarin.
Armizan dalam pada itu menambah, mengambil kira trend kecenderungan pengguna melihat pengiklanan, promosi dan urus niaga dalam talian itu, bagi tempoh tindakan jangka masa panjang, kerangka perundangan sedia ada seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), Akta Perdagangan Elektronik 2006 (Akta 658) akan dilihat semula secara menyeluruh bagi melihat kekurangan yang wujud dan perlu ditambah baik.
“Ini adalah untuk meningkatkan perlindungan kepada pengguna an kedua untuk sekali gus mewujudkan perlindungan dalam negeri yang sihat an progresif. Kita tidak dapat mengelak kerana inilah trend kepenggunaan hari ini.
“Namun paling penting adalah untuk mencari kaedah bagaimana dapat dipastikan wujudnya persaingan dan urus niaga yang sihat tanpa berlaku sebarang penipuan,” kata beliau lagi.
































