Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Melaka pada sesi Forum dan Dialog sempena Majlis Penutup Program Madani Zon Selatan 2024 Setahun Ekonomi Madani di Dataran UTM, Skudai, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat Malaysia menilai tahap perkhidmatan penjawat awam bermula Isnin depan khususnya selepas pengumuman kenaikan gaji penjawat awam, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, perkara itu wajar dibuat selepas penjawat awam pelbagai gred bakal menikmati ‘ganjaran’ yang mana ia bersandar kepada prestasi perkhidmatan mereka.
“Semalam saya umum kenaikan gaji dan elaun terbaik dalam sejarah bagi mengiktiraf penjawat awam disebabkan ada penambahbaikan dalam perkhidmatan mereka, ini ‘reform’ yang kita mahu lakukan.
“Jadi ada jaminan dalam kalangan penjawat awam bahawa bermula Isnin depan, penjawat awam di semua negeri perlu masuk kerja mengikut waktu dan bersungguh-sungguh pikul tanggungjawab.
“Rakyat boleh nilai prestasi mereka dan jika ada kelemahan, ia mesti segera dilaporkan. Kerana bila kita dah bagi kelebihan, mereka kena buat kerja dengan baik, jika ada kelemahan ambil tindakan segera untuk menjaga nama baik dan imej penjawat awam. Jika tahap perkhidmatan masih macam dahulu buat apa kita beri ganjaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Sementara itu, Anwar turut memaklumkan pentadbiranya komited untuk mengatasi isu salah laku, penyelewengan dan rasuah dalam kalangan pemimpin termasuk penjawat awam.
“Walaupun saya umumkan kenaikan gaji penjawat awam, tetapi itu tidak melibatkan orang politik seperti menteri dan timbalan menteri, dimana gaji mereka masih sama dengan potongan 20 peratus.
“Malahan saya sendiri, sejak menjadi Perdana Menteri, saya masih belum mengambil gaji, begitu juga gaji sebagai menteri kewangan. Saya lakukan ini kerana mahu jadikan contoh dan kita perlu sedia berkorban.
“Saya perlu bersyukur kerana telah terima banyak manfaat seperti kediaman rasmi, pengangkutan kenderaan dan pesawat, Alhamdulillah. Jadi kita beri peluang kepada penjawat awam untuk bantu angkat lagi negara ini,” jelasnya lanjut.
































