Willy dan Kamarudin
KOTA KINABALU: Empat laporan polis telah dibuat berhubung penyebaran dua video berunsur fitnah melibatkan ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah dan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang tular di laman sosial sejak Jumaat lalu.
Dua daripada laporan polis itu dibuat di Sandakan, manakala masing-masing satu di Penampang dan Kota Kinabalu.
Kedua-dua video itu sengaja dimuat naik oleh individu tidak bertanggungjawab yang bertujuan mengaibkan kedua-dua pemimpin terbabit.
Seorang daripada pengadu, Willy Frous Darinsok yang juga Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut, menyifatkan penyebaran video berunsur fitnah itu bermotifkan politik.
Video pertama berdurasi 2 minit 57 saat dimuat naik di laman sosial menuduh Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mengambil komisen sebanyak RM2 juta daripada projek baharu lembaga itu.
Willy berkata, tuduhan itu tidak benar sama sekali kerana Masiung tidak mempunyai kuasa eksekutif meluluskan atau merobohkan bangunan lama Rumah Pangsa Tanjung Aru kerana ia memerlukan kelulusan Kabinet Negeri.
Willy berkata, sebaik sahaja polis menjalankan siasatan, pihaknya akan memfailkan kes tersebut ke mahkamah bagi membawa pelaku ke muka pengadilan.
Selain itu, Masiung juga didakwa menghalau penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru dalam masa yang singkat tanpa melalui prosuder yang sah.
Menurut Willy yang juga salah seorang pegawai di LPPB, bangunan Rumah Pangsa Tanjung Aru sudah berusia lebih 50 tahun di mana majikanya telahpun menerima laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Juruperunding bahawa struktur bangunan usang itu tidak selamat untuk didiami.
Katanya, LPPB juga telah mengeluarkan notis sejak awal 2021 lagi dan memberi tempoh cukup lama iaitu hampir empat tahun kepada penghuni supaya berpindah.
“Kebanyakan penghuni yang enggan berpindah juga mempunyai tunggakan sewa yang tinggi dan tidak membuat bayaran sewa bulanan.
“Bagaimanapun, kini sejumlah besar penghuni sudahpun mengosongkan rumah dan cuma berbaki hampir 100 penghuni lagi yang enggan berpindah.
“Kesempatan itu telah digunakan oleh segelintir pemimpin pembangkang untuk mencari pengaruh politik peribadi sehingga wujudnya penyebaran video berunsur fitnah,” jelasnya.
Willy berkata, LPPB mempunyai rekod terperinci kerana ada penghuni enggan berpindah dengan alasan tertentu walaupun telah ditawarkan dengan rumah LPPB di tempat lain.
Sementara itu, seorang lagi individu, Kamarudin Mahalil, yang turut membuat laporan di Balai Polis Seguntur, Batu 8, Sandakan berhubung satu lagi video mengaitkan nama Masiung dan Hajiji dimuat naik di pelbagai laman sosial sejak Jumaat.
Video kedua yang berdurasi 1 minit 35 saat itu mengaitkan nama Masiung dan Hajiji berhubung projek kilang Klinker dan Simen di daerah Tongod.
Kamarudin percaya penyebaran video itu mempunyai kaitan dengan penyokong parti pembangkang yang cemburu melihat Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji melakar kejayaan menerusi pelaburan bernilai RM1.2 bilion itu.
Katanya, dakwaan kononnya rumah Masiung telah diserbu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung isu kilang Klinker dan Simen adalah fitnah semata-mata.
Sehingga ini tidak ada kelibat pihak berkuasa sama ada LHDN, polis maupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang membuat serbuan ke rumah Naib Presiden Gagasan Rakyat itu, tambahnya.
 


























