Kebakaran pada 1 Ogos lalu berlaku secara tiba-tiba melibatkan EV jenama Mercedez-Benz yang diparkir bawah bangunan kediaman di Incheon.
SEOUL: Korea Selatan hari ini mengadakan satu mesyuarat untuk mendesak syarikat-syarikat automotif mendedahkan jenama bateri kenderaan elektrik (EV), susulan satu kebakaran kereta itu yang memusnahkan ratusan kenderaan lain di sebuah pangsapuri di Incheon, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Menteri Alam Sekitar, Yutaka Matsuzawa turut dihadiri wakil Kementerian Pengangkutan dan Industri serta agensi bomba, namun butiran yang dibincang tidak didedahkan.
Media tempatan melaporkan, satu pertemuan akan diadakan esok di antara pegawai Kementerian Pengangkutan dan Industri dengan pengeluar kereta termasuk Hyundai Motor Group, Mercedes-Benz Korea dan Volkswagen Group Korea untuk membincangkan cadangan mendedahkan jenama bateri EV.
Semua pihak yang dijangka bertemu esok enggan mengulas lanjut tentang mesyuarat tersebut.
Keselamatan EV menjadi topik hangat di negara ini berikutan satu kebakaran besar membabitkan sebuah kereta elektrik di tempat letak kereta di bawah sebuah pangsapuri pada 1 Ogos lalu, mengakibatkan 140 buah kenderaan lain turut musnah.
Kebakaran pada 1 Ogos lalu yang berlaku secara tiba-tiba melibatkan EV jenama Mercedes-Benz yang diparkir di bawah bangunan kediaman di Incheon.
Pasukan bomba hanya berjaya memadamkan api lapan jam kemudian, sehingga memaksa penduduk berpindah.
EV menggunakan bateri lithium yang mudah terbakar serta sukar dipadamkan jika mengalami kebakaran, malah ia boleh terbakar berkali-kali walaupun sudah dipadam.
Awal bulan ini, sebuah kenderaan crossover elektrik EV6 dari Kia Corp yang menggunakan bateri pengeluar tempatan, SK On turut terbakar di sebuah tempat letak kereta.
 


























