KOTA KINABALU: Takrif umur belia 15-40 tahun bagi Sabah perlu dikekalkan untuk satu tempoh masa bagi memberi laluan kepada perlaksanaan Pelan Peralihan Kepimpinan Belia dan Pelan Transisi Kepimpinan di peringkat akar umbi.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, langkah tersebut perlu diambil untuk mempersiapkan belia berumur 15-30 tahun di negeri itu mengambil alih kepimpinan platform belia sedia ada.
“Daripada aktiviti jelajah saya kepada pimpinan- pimpinan belia di negeri ini, 80% menyuarakan ketidaksediaan mereka kepada transisi ini atas beberapa faktor rasional yang kita telah bincangkan di peringkat Dewan Tertinggi MBS.
“Lantaran daripada itu, MBS berpendirian bahawa takrifan umur belia di Sabah perlu dikekalkan kepada 15-40 tahun sehingga satu tempoh yang relevan setelah terlaksananya Pelan Peralihan Kepimpinan Belia serta Pelan Transisi kepimpinan di peringkat akar umbi agar pertubuhan-pertubuhan belia ini berupaya menggerakkan komuniti mereka sendiri”, ujar Abqaree sewaktu berucap dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) 2024 Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.
Kenyataan itu bagi mengulas penguatkuasaan takrifan umur belia kepada 15-30 tahun di peringkat kebangsaan pada 1 Januari 2026, di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) Pindaan Akta 2019 (A1602).
Dalam perkembangan berasingan, Abqaree turut mengulas usaha mewujudkan Enakmen Belia oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah bakal memudahkan usaha Kerajaan membela nasib belia di negeri ini yang datang daripada komuniti dan keperluan pelbagai dengan mengambil kira cabaran faktor geografi negeri tersebut.
“Dengan usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri melalui KBS Sabah dalam konteks pewujudan Enakmen Belia, ianya bakal membantu membela nasib penggerak komuniti anak muda di seluruh negeri ini disamping mengangkat martabat anak muda sebagai suara keramat, suara pewaris kepada kepimpinan akan datang,” jelas Abqaree.
MPBN Peringat Negeri Sabah Tahun 2024 hari ini turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin, Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan dan Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Mansur Asun, serta wakil daripada kementerian dan agensi kerajaan negeri.


































