James (dua dari kanan) diberikan taklimat semasa melawat Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Selangor.
KOTA KINABALU: Pusat Jantung Negara (PJN) Sabah perlu dilengkapi dengan kelengkapan canggih dan bilangan kakitangan seperti yang terdapat di Hospital Jantung Sultan Idris Shah Serdang.
Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk James Ratib yang juga Exco Kesihatan Negeri berkata, kelengkapan moden serta jumlah kakitangan yang cukup memudahkan pesakit jantung di negeri ini mendapatkan rawatan dengan lebih berkesan dan mampu mengurangkan risiko kepada pesakit.
“Di Sabah ketika ini berhadapan kekurangan fasiliti dan kakitangan khasnya doktor pakar jantung yang mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pesakit jantung di negeri ini.
“Justeru, diharapkan Kerajaan Persekutuan khasnya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyegerakan penyaluran peruntukan kepada PJN Sabah untuk melengkapkan fasiliti perubatan dan menambah kakitangan agar pesakit jantung dapat diberikan rawatan lebih berkesan,” katanya ketika membuat lawatan rasmi ke Hospital Jantung Sultan Idris Shah Serdang di Selangor hari ini.
James berkata, selepas pengumuman Perdana Menteri mengenai PJN Sabah baru-baru ini, perkara itu disambut baik Kerajaan Negeri dan ianya perlu dibina segera kerana kos rawatan jantung bagi seorang pesakit menelan belanja yang tinggi apabila dirujuk ke pakar jantung ke Semenanjung.
Dalam masa sama, beliau turut menyarankan agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula gred jawatan bagi doktor-doktor pakar yang berkhidmat di Sabah agar selari dengan jawatan yang dipegang bagi mengelak mereka keluar daripada perkhidmatan awam.
“Selaras dengan cabaran kesihatan semasa, gred jawatan bagi doktor pakar di Sabah juga perlu dikaji semula. Saya difahamkan gred jawatan bagi doktor pakar jantung di Sabah masih pada tahap UD 56 walhal bebanan tugas yang dijalankan amat berat,” tegasnya.
Pada April lepas, Perdana Menteri semasa dalam lawatannya ke Sabah telah mengumumkan Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2), dijenamakan semula sebagai Pusat Jantung Negara Sabah bagi memenuhi keperluan rawatan jantung di negeri ini.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM80 juta untuk menarik taraf hospital berkenaan serta menambah tiga orang doktor pakar jantung dan 120 orang tenaga sokongan terlatih.
Dalam lawatan itu, James turut dibawa meninjau beberapa bilik rawatan jantung yang dilengkapi pelbagai peralatan canggih selain mendengar taklimat daripada beberapa doktor pakar di hospital tersebut.
Turut hadir adalah Dr. Farique Rizal Abdul Hamid, Pengarah Hospital Sultan Idris Shah, Datuk Dr. Abdul Kahar Abd. Ghapar, Pengarah Hospital Jantung, Petrus Mojuntin, Pegawai Khas Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta ketua-ketua unit hospital tersebut.


































