Jannie Lasimbang
PENAMPANG: Perayaan Hari Orang Asal Sedunia (PHOAS) tahun ini disambut oleh semua masyarakat Orang Asal di Malaysia tahun ini disambut di Bau, Sarawak dari 7- 9 Ogos.
Hari ini, empat forum mengenai isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asal, termasuk hak tanah adat, pembangunan mapan dan peranan wanita dalam hak penentuan diri telah dianjurkan.
Antara panelis forum adalah Tun Richard Malanjum, bekas Ketua Hakim Negara dan Jannie Lasimbang, ADUN Kapayan yang telah mengikuti program tersebut secara dalam talian.
Jannie berharap penganjur utama iaitu Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) telah mengambil syor-syor dari forum tersebut untuk tindakan lanjut.
“Saya berpeluang memberi perkongsian berkenaan dengan peranan wanita dalam hak penentuan diri, di mana saya telah bercakap mengenai cara wanita akses kepada sumber, peluang dan kuasa membuat keputusan dalam komuniti.
“Bagi wanita Orang Asal, peranan dalam hak penentuan diri termasuk penglibatan dalam pembuatan keputusan dan kepemimpinan. Ini dapat dicapai dengan memberi peluang dan kepercayaan kepada wanita menjadi pemimpin. Sistem kuota juga perlu apabila patriaki dan diskriminasi wanita masih menjadi kebiasaan.
“Untuk memastikan wanita Orang Asal mendapat akses kepada sumber, keluarga harus mewariskan tanah secara adil kepada anak perempuan.
“Selain itu, kerangka undang-undang harus memastikan wanita Orang Asal diberikan hak sama rata dalam pemilikan dan pegangan tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perlindungan juga penting bagi wanita Orang Asal termasuk hak untuk hidup tanpa keganasan, hak perlindungan undang-undang, dan akses ke keadilan.
“Sokongan kewangan dan program kepada usahawan wanita Orang Asal juga amat penting supaya mereka lebih berdikari dari segi ekonomi, manakala sokongan kerajaan dari segi penjagaan kanak-kanak memberi kebebasan wanita orang asal untuk mengikuti program pemerkasaan dan penglibatan aktif.
“Melalui perayaan ini, diharapkan dapat memperkuat solidariti antara komuniti sama ada peringkat keluarga, kampung, negeri dan global agar dapat mempromosikan pengertian yang lebih baik mengenai pentingnya melindungi dan mendukung masyarakat orang asal di seluruh dunia.”


































