PETALING JAYA: Susulan protes berterusan di beberapa kawasan di United Kingdom (UK), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London menyarankan rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke negara itu untuk berdaftar dengan suruhanjaya berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London memaklumkan, mereka yang berkunjung ke UK kurang daripada satu bulan diminta menghantar e-mel kepada Suruhanjaya Tinggi di lonmalaysian@kln.gov.my.
Katanya, subjek e-mel hendaklah memasukkan hari terakhir pelawat di UK diikuti dengan nama dalam format YYYYMMDD NAMA.
Selain itu, katanya, nama ahli keluarga yang turut serta, nombor Kad Pengenalan, nombor pasport, alamat di UK, nombor telefon dan tempoh tinggal di UK juga perlu disertakan dalam kandungan e-mel tersebut.
Malah, Suruhanjaya itu juga meminta mereka turut menyertakan nama, nombor telefon dan hubungan dengan waris.
“Bagi mereka yang menetap atau melawat UK lebih daripada satu bulan, daftar kehadiran anda melalui perkhidmatan e-Konsular Kementerian Luar Negeri melalui laman sesawang atau aplikasi mudah alih.
“Bagi pelajar Malaysia, pendaftaran boleh dibuat melalui platform pendaftaran Kementerian Pendidikan Tinggi di https://dohe.mohe.gov.my/mydata/login,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, rakyat Malaysia di UK yang telah mendaftar dengan portal TalentCorp MyHeart dianggap telah mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London dan tidak perlu tindakan lanjut.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, rusuhan anti pendatang di UK sejak minggu lalu semakin parah dengan sebanyak 370 individu dilapor telah ditahan polis dalam tempoh seminggu.
Rusuhan itu dipercayai berpunca daripada kejadian pembunuhan tiga gadis di barat laut England, hujung Julai lalu.






























