Orang ramai yang berada berhampiran persimpangan Gwanghwamun di Seoul, menggunakan payung berikutan cuaca panas terik melanda seluruh negara.
SEOUL – Sekurang-kurangnya 14 orang maut akibat gelombang haba di Korea Selatan, selepas kematian terbaharu direkod melibatkan dua wanita pada Ahad lepas.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan, dua orang wanita berusia 70-an meninggal dunia akibat suhu panas melampau, lapor Yonhap News yang berpangkalan di Seoul.
Seorang wanita berusia 71 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di rumahnya di Seoul sebelum disahkan meninggal dunia akibat penyakit berkaitan suhu panas, manakala seorang lagi mangsa berusia 78 tahun meninggal dunia pada hari sama, ketika bekerja di sebuah ladang, di Goheung selatan Seoul.
Hampir 1,700 orang dimasukkan ke hospital akibat penyakit berkaitan haba pada tahun ini, manakala 303,000 haiwan ternakan termasuk 277,000 ayam mati kerana suhu panas melampau sejak 11 jun lalu.
Beberapa bahagian di Korea Selatan masih di bawah amaran panas, kerana agensi cuaca tempatan menjangkakan gelombang haba akan berterusan sehingga pertengahan Ogos.
Pada Ahad, negara itu merekodkan 12 malam tropika setakat musim panas ini, melebihi puncak sebelumnya iaitu kira-kira 10 hari yang dicatatkan pada 2018.
Malam tropika merujuk kepada suhu malam yang kekal melebihi 25 darjah celcius antara jam 6.01 petang dan 9 pagi keesokan harinya, menurut agensi itu.
Minggu lalu, Korea Selatan mengeluarkan amaran gelombang haba tertinggi apabila suhu meningkat kepada sekitar 40 darjah Celcius di beberapa wilayah.
































