Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin melanjutkan tempoh pemberian insentif kepada majikan yang berdaftar di dalam projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan peka bahawa terdapat keperluan untuk menjalankan terlebih dahulu sistem DGP melibatkan 1,000 data syarikat yang sudah mendaftar.
“Jadi fokus kita untuk enam bulan ini adalah untuk menjalankan sistem yang telah dibangunkan oleh Perkeso. Jika kerajaan menaikkan kadar gaji (salary band), kerajaan perlu melepasi satu had tempoh terlebih dahulu.
“Tempoh 12 bulan itu berkemungkinan dia (majikan) tidak akan bertahan. Maksudnya, dia ambil sahaja sistem (projek rintis insentif DGP), kemudian dia dapat insentif tetapi bila habis insentif dia turunkan semula kadar gaji.
“Apa yang kita ingin lakukan berdasarkan 1,000 syarikat pertama yang telah melalui proses ini, kita mempunyai data dan kita boleh tentukan apakah tempoh yang paling optimum untuk melaksanakan secara menyeluruh. Adakah 24 bulan, 15 bulan atau 20 bulan?
“Kita juga tidak mahu menawar (kadar insentif) terlalu banyak kerana kos yang ditanggung kerajaan akan menjadi lebih tinggi,” kata beliau pada sidang akhbar selepas Townhall Dasar Gaji Progresif oleh Kementerian Ekonomi, di sini hari ini.
Terdahulu, Rafizi memaklumkan bahawa ketika ini sebanyak 1,108 syarikat telah membuka akaun projek rintis DGP dan sejumlah 446 syarikat telah memohon insentif DGP.
Bagi yang menepati syarat projek rintis DGP pula merekodkan 144 syarikat dan sejumlah 42 syarikat menuntut insentif DGP.
Selain itu, Rafizi berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru dalam melaksanakan projek rintis DGP kerana ia melibatkan jutaan orang pada skala besar meliputi pekerja dan majikan.
“Jadi, yang paling penting adalah kita melaksanakan dahulu projek rintis kerana kita perlu mendapatkan dan menyemak ‘learning curve’ daripada pelaksanaannya. Apabila kita sudah mendapatkan ‘learning curve’ itu, sistemnya sudah ada, sudah tahu bagaimana perangai majikan dan pekerja, maksudnya untuk memperluaskan skala DGP akan menjadi lebih singkat.
“Oleh itu, kita perlu melalui proses ini terlebih dahulu dan melihat nombor-nombor ketika pelaksanaan yang membolehkan kita untuk memperluaskannya. Namun intervensi untuk reformasi pasaran gaji adalah salah satu dasar utama kerajaan ketika ini. Keputusan akan dibuat tetapi yang kita perlu lihat adalah sejauh mana skala projek rintis ini,” katanya.
































