Kemalangan di Jalan Kota Marudu-Marak Parak, Kota Marudu yang mengakibatkan mangsa parah sebelum disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan. – Ihsan PDRM
KOTA MARUDU: Seorang Pegawai Bomba Bantuan (PBB) yang kritikal selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kota Marudu-Marak Parak berhampiran Kampung Hatob pada Ahad lalu meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Mangsa yang dikenali sebagai Masreh Masah, 50, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, mangsa meninggal dunia selepas menerima rawatan kira-kira 35 jam selepas terlibat dalam kemalangan yang berlaku pada Ahad lalu
Beliau berkata, kemalangan dilaporkan berlaku pada pukul 10.30 pagi membabitkan kereta jenis sedan dan motosikal yang dinaiki mangsa.
Berdasarkan siasatan awal, kereta sedan yang dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah Marak Parak menuju ke Pekan Kota Marudu manakala, motosikal mangsa datang dari arah bertentangan.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh menuruni bukit. Motosikal mangsa kemudiannya masuk ke arah laluan kereta sedan hingga berlaku pertembungan.
“Akibat pertembungan itu, mangsa cedera parah pada bahagian perut. Mangsa dihantar ke Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu bagi mendapat rawatan awal sebelum dihantar ke HQE I untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Siminun, pemandu sedan hanya mengalami luka-luka ringan pada tangan kanan dan kiri. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut diminta datang ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
































