Hannah Yeoh bersama Lee Zii Jia bergambar dengan pingat gangsa kedua kontinjen Malaysia, semalam. – Ihsan FB Hannah Yeoh
PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa agar semua pihak berhenti sejenak berkenaan membangkitkan isu pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bagi memberi laluan untuknya meraikan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, menerusi laman sosial Facebook milik Hannah, pencapaian yang diraih oleh anak jati Kedah itu cukup membanggakan serta mengharumkan nama negara di persada antarabangsa sekali gus menghadiahkan pingat kedua buat kontinjen Malaysia.
“Memang dia (Zii Jia) ada sejarah bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan sekejap dia dalam RTG (Road To Gold) dan kemudian dia memutuskan sebaliknya.
“Kini dia sepenuhnya bebas namun boleh tidak kita sebagai sebuah negara berhenti seketika dan meraikan bawhawa anak muda ini menempuh perjalanan yang panjang dan bangkit semula dan kini berjaya ke podium Olimpik?” kata Hannah menerusi Facebook miliknya.
Zii Jia membuktikan kelasnya tersendiri apabila menundukkan pemain India, Lakshya Sen pada aksi penentuan pingat gangsa 13-21, 21-16, 21-11, semalam.
Dalam pada itu, Hannah turut melontarkan pujian kepada jurulatih pemain berusia 26 tahun itu, Wong Tat Meng dalam membimbingnya hingga ke tahap kini.
“Syabas kepada Tat Meng kerana membantu Zii Jia untuk mencapai ke tahap ini,” katanya.




























