ALOR SETAR: Seorang wanita kerugian kira-kira RM6,000 setelah rantai lehernya dicuri oleh seorang warga emas di sebuah klinik kesihatan, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, dalam kejadian pukul 8 pagi itu mangsa mendakwa suspek mendekatinya untuk menawarkan rawatan tradisional sebelum melarikan barangan kemas itu.
“Mangsa ke klinik berkenaan untuk mengambil ubat sebelum didatangi oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menawarkan rawatan tradisional kepada mangsa. Mangsa menolak tawaran tersebut, tetapi suspek tetap mendekati mangsa sebelum beredar beberapa minit selepas itu.
“Setelah mangsa selesai berurusan di klinik tersebut, dia dapati rantai dipakai telah tiada dan mengesyaki ianya dibawa lari oleh suspek yang sebelum itu menegur rantai mangsa dipakai longgar lalu bertindak memegang rantai itu seolah untuk mengetatkan semula,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah beliau, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Alor Setar pada pukul 12.20 tengah hari semalam.
“Akibat kejadian ini, pengadu mengalami kerugian anggaran RM6,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Pihak polis sedang giat mengesan suspek iaitu seorang lelaki berbangsa Cina, berketinggian kira-kira 160 sentimeter dan berusia sekitar 60-an.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di talian 04-7747222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
































