Keputusan menghentikan hidangan mi segera hanya terpakai kepada penumpang kelas ekonomi bermula 15 Ogos ini.
MANILA: Syarikat penerbangan Korean Air tidak akan menghidangkan mi segera atau ramen kepada penumpang kelas ekonomi bermula 15 Ogos ini atas dasar keselamatan.
Menurut Utusan Malaysia, BBC melaporkan, syarikat itu dalam kenyataan Khamis berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan beberapa insiden melecur membabitkan penumpang, ekoran gelora udara, lorong yang sempit dan kedudukan penumpang yang rapat antara satu sama lain.
Bagaimanapun, penumpang kelas perniagaan dan kelas pertama akan terus menikmati hidangan tersebut.
Menurut Korean Air, sejak 2019, jumlah gelora udara dalam penerbangannya meningkat dua kali ganda.
“Keadaan itu menambah risiko kecederaan sekiranya air panas daripada bekas mi segera tertumpah, terutamanya jika pesawat sesak dengan penumpang,” kata kenyataan itu.
Langkah tersebut menerima pelbagai reaksi daripada penumpang dengan ada yang lega, sementara sebahagian lagi mempersoalkan mengapa air kopi dan teh panas akan terus dihidangkan dalam pesawat.
Mei lalu, syarikat penerbangan Singapore Airlines tidak lagi menghidangkan air panas dan berhenti menyajikan makanan apabila isyarat tanda tali pinggang keledar dihidupkan.
Ia susulan kematian seorang penumpang Britain berusia 73 tahun dan puluhan lagi cedera apabila penerbangan SQ 321 mengalami gelora udara ketika berada di ruang udara Myanmar semasa dalam penerbangan dari London ke Singapura.


































