Setiausaha Negara AS, Antony Blinken (kiri) bertemu dengan Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong di Istana Presiden di Singapura, Rabu.
SINGAPURA: Singapura dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani perjanjian kerjasama nuklear awam selama 30 tahun, yang dipercayai mampu menyokong matlamat iklim sambil mengimbangi keperluan tenaga kritikal di rantau ASEAN.
Perjanjian itu, dikenali sebagai Perjanjian 123, ditandatangani oleh Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken yang dalam lawatan rangka kerja ke enam negara di Asia, Rabu.
Menurut Utusan Malaysia, AS dan Singapura dalam satu kenyataan bersama berkata, permeteraian perjanjian berkenaan boleh memberi kesedaran tentang bagaimana teknologi nuklear mampu mencapai keseimbangan iklim global, lapor China Daily.
“Perjanjian 123 juga membolehkan AS menyalurkan bahan atau peralatan nuklear kepada Singapura untuk tujuan keamanan,” jelas kenyataan itu.
Kementerian Alam Sekitar dan Kelestarian serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura dalam helaian fakta yang dikeluarkan berkata, republik ini belum membuat sebarang keputusan mengenai penggunaan tenaga nuklear di Singapura.
Penggunaan memerlukan kajian terperinci mengenai keselamatan, kebolehpercayaan, kemampuan dan kelestarian alam sekitar tenaga nuklear dalam konteks tempatan.
Perjanjian 123 adalah prasyarat bagi Singapura untuk bekerjasama dengan negara-negara lain yang menggunakan teknologi dan reka bentuk tenaga nuklear mengandungi komponen atau harta intelek yang berasal dari AS.
Selain Singapura, AS juga telah menandatangani perjanjian itu dengan 48 negara lain termasuk Indonesia, Filipina dan Vietnam.