Li Chunrong (empat dari kanan) memperkenalkan model EV pertama negara iaitu Proton e.Mas 7.
PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd. (Proton) mengumumkan nama kenderaan elektrik (EV) baharunya pertama Malaysia sebagai Proton e.MAS 7, menandakan permulaan babak baharu dalam sejarah automatif negara.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C tersebut menekankan komitmen Proton di dalam agenda EV kerajaan yang menyeru pembuat kereta nasional untuk memperkenalkan EV menjelang tahun 2025.
“Walaupun pelancaran penuh akan berlaku pada akhir tahun ini, pengesahan nama dan pratonton model baharu ini menunjukkan pendekatan proaktif Proton dalam memimpin industri automotif negara ke arah masa depan yang lebih lestari.
“Dalam keterujaan untuk menantikan kehadirannya di jalan raya, kami akan mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai Proton e.MAS 7 dalam beberapa bulan yang akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net) anak syarikat Proton, menyasarkan untuk mempunyai 25 bilik pameran Proton e.MAS yang akan beroperasi sebelum pelancaran sulung Proton e.MAS 7.
Dibangunkan bersama Geely, Proton e.MAS 7 adalah SUV segmen C yang direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden dengan menawarkan ruang dan utiliti yang luas.
Proton e.MAS 7 adalah model EV pertama Proton yang menampilkan platform Global Modular Architecture (GMA) yang canggih, memastikan prestasi kenderaan yang unggul, pengendalian yang terbaik, dan keselesaan yang mencukupi.
Dengan dimensi sepanjang 4,615 milimeter (mm), lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm dan jarak roda 2,750 mm, e.MAS 7 menawarkan ruang dalaman yang cukup luas dengan reka bentuk luaran kontemporari.
Jelas Chunrong, usaha kolaboratif bersama antara Proton dengan Geely dalam pembangunan model ini, ia juga merangkumi beberapa aspekpenting seperti strategi produk, kejuruteraan, reka bentuk, kawalan kualiti pengeluaran dan pembangunan ekosistem tempatan.
“Lebih dari seratus jurutera Proton telah memberikan sumbangan secara langsung kepada projek ini, memastikan ia memenuhi keperluan rakyat Malaysia serta pengguna dari negara lain,” katanya.
Kenderaan serba elektrik ini menampilkan sistem pemacu elektrik terkini 12 dalam satu yang canggih, menetapkan piawaian baharu dalam kelasnya tersendiri dengan menggabungkan pelbagai fungsi ke dalam satu unit yang sangat efisien.
Selain itu, Proton e.MAS 7 juga dilengkapi dengan seni bina bateri Cell-To-Body yang inovatif dan dapat memperkuatkan kekuatan struktur bateri, menambah keluasan ruang dalaman, meningkatkan kestabilan dalam kawalan selekoh dengan kelajuan tinggi, serta keseluruhan pengendaliannya.


























