Joko Widodo di hadapan kira-kira 3,000 hadirin pada majlis zikir dan solat berjemaah di Istana Merdeka di Jakarta Pusat, semalam.
JAKARTA : Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi secara terbuka meminta maaf kepada rakyat republik ini atas sebarang kesilapan yang telah dilakukan sepanjang hampir 10 tahun kepimpinannya, yang akan berakhir pada bulan Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, dalam nada yang sebak sambil mengalirkan air mata, beliau turut meminta maaf bagi pihak Naib Presiden, Ma’ruf Amin.
“Dengan penuh keikhlasan, izinkan saya dan Ma’ruf memohon maaf dengan sepenuh hati atas sebarang kesilapan yang mungkin kami lakukan semasa menjalankan amanah rakyat sebagai Presiden dan Timbalan Presiden,” katanya.
Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 3,000 hadirin termasuk Ma’ruf, menteri-menteri kabinet, pemimpin-pemimpin Islam dan kumpulan pelajar pada majlis zikir dan solat berjemaah di Istana Merdeka di Jakarta Pusat, semalam.
Majlis itu diadakan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ada 17 Ogos ini.
Jokowi pada masa sama menambah, mustahil untuk beliau dan timbalannya memenuhi semua permintaan rakyat.
“Kami sedar bahawa kami tidak boleh menggembirakan semua orang. Saya tidak sempurna. Saya seorang manusia biasa. Kesempurnaan hanya milik Allah sahaja.
“Saya menyeru kita semua sama-sama berdoa dan memohon bantuan dari Allah supaya Indonesia boleh menjadi negara maju,” katanya.
Penggal kedua dan terakhir Jokowi akan berakhir pada bulan Oktober, sebelum Prabowo Subianto yang memenangi Pemilihan Presiden mengangkat sumpah pada 20 Oktober ini.
Legasi politik Jokowi disambung anak sulungnya, Gibran Rakabuming Raka yang akan memegang jawatan Naib Presiden pada penggal akan datang.






























