Jamuan mewah di Istana Versailles adalah sebahagian daripada lawatan negara tiga hari Raja Charles ke Perancis pada September.
PARIS : Hidangan udang karang yang disajikan pada makan malam mewah sempena kedatangan Putera Charles III di Perancis tahun lalu, menelan belanja sebanyak €475,000 (RM2.34 juta).
Menurut Utusan Malaysia, satu laporan oleh Jabatan Audit, Cour des Comptes kelmarin menyebut, perbelanjaan mewah itu antara lain menyebabkan bajet Perancis berada dalam keadaan defisit €8.3 juta (RM41 juta).
Dalam laporan berkenaan, Cour des Comptes turut menasihatkan pejabat Presiden, Emmanuel Macron supaya berjimat cermat dengan tidak terlalu bermewah-mewah untuk majlis rasmi.
“Elysee (Pejabat Presiden) perlu mengambil langkah berjimat untuk memulihkan dan mengekalkan kewangan Presiden,” jelas laporan itu seperti dipetik BBC.
Kunjungan Putera Charles III ke Perancis selama tiga hari pada September lalu disambut meriah dengan makan malam mewah di Palace of Versailles yang menghidangkan udang karang biru, ketam dan pelbagai jenis keju.
Antara kenamaan yang hadir pada acara itu ialah pelakon terkenal Britain, Hugh Grant, bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger dan vokalis kumpulan Rolling Stones, Mick Jagger.
Pada Julai tahun lalu, Perancis turut mengadakan sambutan besar-besaran semasa kunjungan Perdana Menteri India, Narendra Modi di Louvre yang menelan kos €412,000 (RM203 juta).
Cour des Comptes menyatakan, pembaziran itu meningkatkan perbelanjaan sebanyak 14 peratus sedangkan Presiden hanya menyumbang pendapatan sebanyak 6.5 peratus.