KEPALA BATAS: Dua wanita yang tular di media sosial kerana terbabit dalam pergaduhan berebut tapak parkir di sebuah pasar raya di sini sudah ditahan polis, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd. Rahman berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan, Isnin lalu berhubung kejadian itu.
Katanya, susulan laporan tersebut, seorang lagi wanita kemudian tampil membuat laporan membabitkan isu yang sama keesokan harinya selepas video pergaduhan mereka tular di media sosial.
“Hasil siasatan mendapati, kedua-dua wanita yang masing-masing berusia 25 dan 38 tahun itu bergaduh akibat perasaan tidak puas hati membabitkan perebutan tempat parkir di kawasan pasar raya berkenaan.
“Kita turut merampas beberapa barangan kes bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksana iaitu gaduh gempar serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan kurang sopan di tempat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Nursyahirah Sarahani di talian 04-5762222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.
Isnin lalu, video berdurasi satu minit empat saat itu tular di media sosial dan menjadi bualan ekoran kedua-dua wanita terbabit bertengkar sambil tangan masing-masing merakamkan kejadian terbabit.


























