Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan ke Vladivostok, Russia dalam tempoh beberapa minggu lagi bagi memenuhi undangan Presiden Vladimir Putin.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, antara perkara utama akan dibincang dalam pertemuan itu nanti adalah mengenai potensi kerjasama ekonomi yang boleh dikembangkan di antara kedua-dua negara.
Lawatan itu diyakini dapat mempercepatkan lagi usaha negara menganggotai kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) dalam keadaan Malaysia sudah menghantar permohonan sebelum ini.
“Beberapa minggu lagi saya akan ke Vladivostok, di pinggir Russia untuk menerima undangan Presiden Putin, berbincang soal kerjasama ekonomi yang akan meletakkan kita sebagai antara negara yang mempertahankan pendirian bebas dan tidak ambil sikap untuk bermusuh dengan sesiapa.
“Prinsip kita jelas, tetap mempertahan kebebasan, tolak kezaliman, tidak mengizinkan mana-mana negara kelompok menindas, menghina dan membunuh rakyat yang tidak berdosa,” katanya dalam ucapan perasmian Ibu pejabat GXBank & pelancaran pusat kecemerlangan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, kata Anwar, beliau mahu menunjukkan kepada dunia bahawa negara ini bebas dan merdeka serta boleh mengadakan hubungan bilateral dan ekonomi tanpa terikat dengan mana-mana kuasa besar.
Pada masa sama, katanya, Malaysia juga akan mengekalkan hubungan tradisional dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) yang mempunyai pelaburan tinggi.
“Ini kerana pelaburan seperti pendigitalan awal banyak pelaburannya dari AS dan Eropah. Kita juga meneroka dan ada hubungan sangat istimewa dengan China, selain Jepun dan Korea yang dianggap rakan tradisional.
“Jadi, saya percaya perkara ini menguntungkan kita kerana Malaysia jelas dengan dasar bersahabat dan mengambil sikap bebas,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, angka dan data mengenai pertumbuhan ekonomi, pelaburan, pengawalan inflasi dan pengangguran berada pada tahap cukup membanggakan.
“Kita catat pencapaian yang meletakkan kita pada tahap mampu berdaya saing dan menjadi negara dikenali sebagai antara hab untuk semikonduktor dan diterima negara seperti AS, Eropah dan China,” katanya.
Katanya, Malaysia akan terus mengambil pendekatan lebih terbuka bagi memastikan negara mempunyai hubungan perdagangan dengan semua negara.
“Dasar negara kita terbuka. Apa sahaja yang boleh selamatkan bangsa dan negara dapat memacu pertumbuhan dengan segar, kerangka yang memungkinkan kita berdagang dengan semua negara dan pertahankan keamanan dan ekonomi.
“Kita bersahabat dengan semua asalkan Malaysia kekal bebas, merdeka dan berdaulat,” katanya.
Pada 27 Julai lalu, dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 di Vientiane, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia perlu menunggu kira-kira setahun lagi sebelum permohonannya diterima, namun Russia dan China mengalu-alukan penyertaan negara ini dalam BRICS.
Pada 9 Julai lalu, Anwar di Dewan Rakyat menegaskan, permohonan Malaysia menyertai BRICS tidak bertentangan dengan dasar luar negara.
Sebaliknya, katanya, Malaysia mengambil pendekatan menjalin hubungan baik dengan semua pihak lebih-lebih lagi dengan kemunculan kekuatan ekonomi baharu.
Kata Anwar, penyertaan Malaysia dalam BRICS diyakini memberi kekuatan baharu memandangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu mencecah AS$26.6 trilion.
Pada 22 Julai lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rancangan kerajaan tidak akan menyebabkan negara berhadapan dengan ancaman dari negara-negara kuasa besar.
Katanya, Malaysia kekal mengamalkan prinsip keterbukaan dalam aspek ekonomi iaitu bersedia berdagang dengan mana-mana negara kecuali yang bertentangan perundangan antarabangsa.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun.
Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.
































