Anak beranak antara ditemukan rentung dalam kebakaran di Kampung Blok 5, Pitas hari ini. – Ihsan Bomba
PITAS: Dua beranak antara tiga mangsa rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Blok 5, di sini hari ini.
Dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu, tiga mangsa iaitu dua lelaki dan seorang perempuan yang berusia antara 11 hingga 60-an ditemukan rentung dalam rumah yang terbakar sepenuhnya dalam insiden itu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Kudat, Kamarudin Sogon berkata, tiga mangsa rentung iaitu Nur Adriana Qistina,11, dan Abdul Malik Mad Tasin, 50-an merupakan anak-beranak, manakala, seorang mangsa lagi dikenali sebagai Salleh Onding berusia 60-an.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 2.19 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak 65 kilometer.
Katanya, apabila jentera sampai ke lokasi pada pukul 3.10 pagi, didapati sebuah rumah dan dua buah kenderaan telah terbakar sepenuhnya.
“Pemeriksaan di lokasi menemukan, tiga mangsa rentung dan tiga mangsa lagi mengalami cedera ringan. Kesemua mangsa cedera telah dihantar ke Hospital Pitas oleh orang awam.
“Mangsa pertama iaitu Nur Adriana ditemukan rentung di bahagian ruang tamu pada pukul 3.27 pagi, mangsa kedua, Abdul Malik ditemukan pada pukul 3.40 pagi di bahagian dapur rumah manakala, seorang lagi mangsa ditemukan pada pukul 4.26 pagi di dalam bilik air,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tiga mangsa yang cedera ringan merupakan anak kepada lelaki yang ditemukan rentung. Mangsa rentung telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.