Pelajar ceria ketika mengadiri majlis itu.
KUDAT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matunggong merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.53 bagi keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 sekaligus mengekalkannya sebagai sekolah terbaik bukan sahaja di Kudat tetapi juga di Sabah bagi kategori Sekolah Harian Luar Bandar.
Sekolah tersebut juga mengekalkan 100 peratus pelajar Layak Mendapat Sijil (LMS).
Gembira dengan pencapaian tersebut, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki yang juga ADUN Matunggong berkata, kejayaan tersebut menjadikan SMK Matunggong kekal sebagai sekolah harian luar bandar terbaik buat tahun ketujuh.
Selain itu katanya, sekolah tersebut juga berada dalam kedudukan ke-12 daripada 222 buah sekolah di Sabah dan setara dengan prestasi pencapaian sesetengah sekolah berasrama penuh.

Julita (dua dari kanan) bergambar kenangan dalam majlis itu.
“Berdasarkan keputusan SPM yang telah diumumkan baru-baru ini, kita boleh lihat hasil usaha dan kerjasama pelbagai pihak telah berjaya meningkatkan GPS bagi SMK Matunggong” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Semekgong sesi 2023 di sini Selasa lalu (23 Julai).
Terdahulu, Julita mengucapkan syabas dan tahniah kepada SMK Matunggong kerana berjaya mengadakan majlis tersebut sebagai acara tahunan sekolah kerana ia sangat penting untuk menghargai usaha para pelajar, sekaligus menunjukkan apresiasi pihak sekolah terhadap pencapaian cemerlang para pelajar.
“Saya percaya program seumpama ini mampu melonjakkan kemenjadian murid dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah,” ujarnya.
Beliau berkata, kecemerlangan sesebuah organisasi atau persatuan amat bergantung kepada beberapa elemen yang perlu digerakkan secara bersama dan seiringan.
“Oleh itu, saya menyeru supaya kita bersama berpadu tenaga dan menyumbang buah fikiran dalam mengekalkan dan membangunkan kecemerlangan pendidikan anak-anak pelajar SMK Matunggong.
Elemen perpaduan dalam kalangan warga sekolah, ibu bapa dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) adalah sangat penting dalam mengekalkan kecemerlangan sekolah ini.”
Beliau berharap agar majlis seumpama ini mampu memberi suntikan semangat dan memotivasikan para pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang terutamanya dalam akademik.
“Kepada pelajar yang belum berjaya, janganlah kecewa. Tapi ingatlah orang yang berusaha pasti berjaya. Usaha tidak akan pernah mengkhianati hasilnya,” katanya.
Julita turut menyampaikan insentif tunai kepada para pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 5A dan ke atas pada majlis tersebut. Seramai 37 pelajar sekolah tersebut telah mecapai keputusan cemerlang.
Insentif tunai kepada pelajar cemerlang SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ini merupakan inisiatif yang dimulakan Julita sejak 2018 untuk memenuhi sasaran meningkatkan pencapaian cemerlang para pelajar.
“Saya gembira melihat ada peningkatan dari segi pencapaian pelajar dari tahun ke tahun,” ujarnya.






























