Dr. Joachim (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama dengan penerima sijil penghargaan kepada 14 bekas Exco Pemuda dan Timbalan Ketua Pemuda PBS.
KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru belia-beliawanis PBS untuk bersama-sama mengembalikan kegemilangan parti.
“Let’s make PBS great again,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Exco Pemuda PBS di Hotel Raia, Sembulan, di sini kelmarin.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Exco Pemuda PBS atas kejayaan menganjurkan seminar yang disertai oleh ahli-ahli exco pemuda daripada semua bahagian.
Seminar tersebut bertujuan untuk mempertingkatkan keupayaan menarik minat belia-beliawanis untuk menyertai PBS dan mengukuhkan lagi semangat cintakan parti dalam kalangan Pemuda PBS.

Dr. Joachim (tengah), Julita (empat dari kiri) bergambar bersama exco pemuda yang hadir.
“Pemuda will be the work force for PBS…Pemuda PBS perlu mengadakan jelajah masuk ke kawasan seluruh negeri Sabah terutama yang ada untuk menang dan jangan tunggu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) baru mahu mula masuk kawasan,” katanya.
Memberikan kemenangan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ialah keutamaan, tegasnya.
Beliau berkata, kerjasama Bersatu Solidariti (BEST) antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) perlu dikekalkan.
“PBS is a multiracial party dan perlu mengekalkan kemenangan di kawasan Kadazan-Dusun-Murut (KDM) selain masih mendapat sokongan di kawasan Bumiputera Islam.
“Kerana itu, saya menyeru kita semua bersatu dan kelihatan kuat kerana melalui ini sahaja kita akan dapat memenangi kawasan itu,” katanya.
Turut diadakan ialah penyampaian sijil penghargaan kepada 14 bekas Exco Pemuda dan bekas Timbalan Ketua Pemuda PBS.
Hadir sama, Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki; Bendahari, Datuk Lu Kim Yen; Setiausaha Eksekutif, Mesilus Roman; Penolong Setiausaha Agung, Datuk Jonnybone Kurum; Ketua Pemuda, Dr. Christoper Mandut, Pengerusi Penganjur, Louis Lai; Ahli-ahli Bahagian, Ketua -Ketua Bahagian dan beberapa lagi Exco wanita.






























