Perkahwinan Anant Ambani yang juga merupakan anak bongsu kepada lelaki terkaya di Asia, Mukesh Ambani, menyita perhatian dunia.
Majlis praperkahwinan yang diadakan sejak Mac juga resepsi tiga hari berturut-turut di Pusat Konvensyen Dunia Jio, Mumbai, begitu mewah dan dianggarkan menelan kos sebanyak RM2.8 bilion (AS$ 600).
Berikut kami perincikan suasana perkahwinan juga tetamu penting yang hadir di majlis bersejarah anak jutawan itu.

ARTIS POPULAR HOLLYWOOD KEPADA PEMIMPIN DUNIA
Menurut Utusan Malaysia, bukan calang-calang 1,200 tetamu khas yang diundang ke majlis serba mewah ini.
Perkahwinan Anant menjadi tempat berkumpulnya tetamu elit dunia baik daripada golongan jutawan, artis Hollywood sehinggalah pemimpin penting dunia.
Antara tetamu yang mencuri perhatian ialah Khloe dan Kim Kardashian, pasangan pelakon Priyanka Chopra dan Joe Jonas.
Turut hadir, bekas Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson dan Tony Blair juga beberapa nama lain seperti Hilary Clinton dan David Beckham.

TATACARA PEMAKAIAN BUSANA
Anant nampaknya sangat kreatif merangka majlis perkahwinan. Antara perkara yang menarik ialah tetamu diminta berpakaian mengikut tatacara pemakaian busana bergantung kepada konsep berbeza yang ditetapkan setiap malam.
Contohnya, pada malam pertama majlis resepsi, mereka mengenakan tema An Evening in Everland, malam kedua pula Walk on the Wild Side sehinggalah malam kemuncak iaitu pakaian rasmi India yang mewah.
Bulan lalu, Radhika Merchant mengadakan parti bujang terakhirnya bersama kawan-kawan dengan tema Princess Diaries dalam pakaian baju tidur berbulu putih bersama kawan-kawannya yang memakai baju berwarna merah jambu dan tiara.
PERSEMBAHAN DARI ARTIS TERKENAL
Tidak hanya baju, malah persembahan sepanjang majlis mereka juga hanya dinyanyikan oleh artis kelas A dunia.
Dimulakan dengan penyanyi Rema dan Fonsi menyanyikan lagu Despacito, Justin Bieber diundang menyanyikan lagu hit terbaiknya sehinggalah Rihanna menyanyikan lagu Diamonds di hadapan 1,200 tetamu di Jamnagar, Gujarat.
Selain itu, beberapa penyanyi lain turut membuat persembahan selingan antaranya The Backstreet Boys, David Guetta, Pitbull dan Andrea Bocelli.
DIHUJANI KECAMAN
Demi memudahkan majlis perkahwinan jutawan tersebut, polis menyekat laluan trafik orang awam ke jalan raya menuju Pusat Konvensyen Dunia Jio selama empat hari.
Pihak polis mengeluarkan kenyataan bahawa penutupan jalan itu dilakukan kerana terdapat acara orang awam.
Ramai penduduk di India tidak berpuas hati dan memberikan kritikan tajam terhadap layanan berat sebelah golongan kaya di negara itu.
Bukan itu sahaja, terdapat pihak yang mengkritik jurang perbezaan sangat ketara golongan kaya dan miskin di India.