Mahra dan suaminya, Sheikh Mana diraikan dalam majlis perkahwinan serba mewah di Dewan Zabeel, di Pusat Dagangan Dunia Dubai, pada 27 Mei 2023.
ABU DHABI: Anak perempuan kepada pemerintah Dubai yang juga Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohammed Rashid Al Maktoum, Sheikha Mahra, mengumumkan perceraiannya dalam media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, CNN melaporkan, menerusi hantaran di Instagram, wanita berusia 30 tahun itu memaklumkan perkahwinan dengan suaminya, Sheikh Mana Mohamed Al Maktoum, seorang usahawan ternama yang juga ahli kerabat diraja Dubai sudah berakhir.
“Dengan ini, saya mengisytiharkan perceraian kami. Saya ceraikan awak, saya ceraikan awak dan saya ceraikan awak. Jaga diri. Bekas isterimu,” tulis Mahra.
Mahra berkahwin dengan Sheikh Mana pada Mei tahun lalu, dalam majlis serba mewah di Dewan Zabeel di Pusat Dagangan Dunia Dubai.
Perkahwinan diraja itu mendapat liputan meluas termasuk daripada penerbitan majalah Harper’s Bazaar dan Grazia.
Hasil perkahwinan itu, Mahra dan suaminya memiliki seorang anak perempuan, yang dilahirkan sekitar dua bulan lalu.
Gambar Mahra bersama suaminya kini sudah dipadam daripada akaun Instagram, begitu juga gambarnya dalam akaun media sosial Sheikh Mana.
Mahra sentiasa menjadi perhatian dan sering menghadiri acara karpet merah di Dubai serta menghiasi muka depan majalah tempatan, yang merupakan amalan luar biasa bagi puteri diraja.
Beliau mempunyai hampir setengah juta pengikut di Instagram, dan aktif berkongsi mengenai hobi, kerja amal termasuk gambar swafotonya.
Pada awalnya, pengguna Instagram membuat spekulasi sama ada akaunnya digodam, namun Instagram Mahra kekal aktif sejak pengumuman itu dibuat.
Setakat ini, kerajaan UAE mahupun suaminya, Sheikh Mana belum mengulas secara terbuka mengenai pengumuman tergempar itu.