Dr. Joachim (tengah), Dr. Jamili (empat dari kanan) dan semua yang hadir bergambar kenangan dalam kunjungan hormat JPUANS, di wisma Innoprise, hari ini.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk Penggubalan, Pindaan dan Penyemakan Semula Undang-undang Adat Anak Negeri Sabah (JPUANS) di pejabatnya di Wisma Innoprise, di sini, hari ini.
Semasa kunjungan tersebut, beliau telah diberikan taklimat oleh Peguam di Jabatan Peguam Beşar Negeri Sabah dan juga Penasihat Kanan Undang-undang Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Anak Negeri, Dulce Majawit.
Taklimat yang diberikan adalah berkenaan tujuan mewujudkan JPUANS melalui Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) iaitu untuk meneliti dan berbincang mengenai sesuatu ketetapan undang-undang Anak Negeri dari segi pewujudan, pindaan serta menyemak semula undang-undang adat Anak Negeri yang sekian lama perlu diberi perhatian.
Dr. Joachim berkata, kunjungan hormat itu adalah bagi memenuhi aspirasi dalam cadangan penubuhan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor pada Februari lalu.
Ia adalah sebagai satu transformasi yang memartabatkan undang-undang adat Anak Negeri sekali gus memberikan imej yang berprestij dan berkaliber kepada Ketua-ketua adat di mahkamah.
Selain itu, ia adalah untuk menaik taraf sistem kehakiman Mahkamah Anak Negeri yang setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Tindarama Dr. Benedict Topin dan Beverly Judin; Timbalan Pengerusi SPANS, Datuk OKK Stephen Sondoh; Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Puan Syaheeda Hamdani; Sabah Law Society, Datuk John Sikayun; Wakil Ketua Daerah, OKK Edna Majimbun, (MAN KK); dan ahli Juprin Wong Adamal.






























