Arifin (kanan) dan Bernard ketika merasmikan Program Klik-Klik Senang Akaun dan Program Tembus Pasaran Digital.
KOTA KINABALU: Para usahawan mikro di Sabah diseru agar mengambil peluang menerapkan teknologi dalam perniagaan masing-masing.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata adaptasi teknologi akan memberi kelebihan dalam pengurusan harian, membuka peluang meneroka pasaran baru, memperluaskan jaringan pelanggan dan meningkatkan daya saing perniagaan.
“Seperti yang kita sedia maklum, peranan teknologi dalam memacu pertumbuhan perniagaan tidak dapat dipandang remeh.
“Ia bukan lagi sekadar satu kemestian tetapi merupakan suatu keperluan yang kritikal untuk memastikan keberkesanan dan keberlanjutan perniagaan kita,” katanya semasa merasmikan Program Klik-Klik Senang Akaun dan Program Tembus Pasaran Digital, pada Selasa.
Program Klik-Klik Senang Akaun adalah salah satu inisiatif di bawah Program Micro Connector bagi tahun 2024 yang memfokuskan kepada pengurusan kewangan yang cekap serta mendigitalkan proses perakaunan.
Arifin turut menegaskan kerajaan sentiasa berusaha dan berkolaborasi dengan pelbagai pihak untuk menyediakan sokongan kepada perusahaan mikro meningkatkan keupayaan perniagaan menerusi kemahiran kompetitif serta sokongan teknikal.
“Program latihan, bantuan kewangan, dan pendigitalan adalah antara inisiatif yang disediakan untuk memastikan setiap perusahaan mikro mengambil langkah ke arah transformasi digital yang lebih besar.
“Saya percaya menerusi kolaborasi dengan pelbagai pihak seperti program pada hari ini akan dapat membantu perusahaan mikro membina ekosistem perniagaan yang dinamik dan berdaya saing khususnya di Sabah.
“Mari kita terus memacu inovasi, berani berubah, dan menjadi peneraju dalam industri yang diceburi,” ujar beliau.
Program yang dilaksanakan di Sabah pada kali ini juga mendapat sokongan daripada Persatuan Usahawan Digital IKS Daerah Tuaran (PERDIKS) dan telah dihadiri seramai 80 usahawan di kalangan perusahaan mikro.
Turut hadir, Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Bernard Giluk Dompok dan Pengerusi Persatuan Usahawan Digital IKS Daerah Tuaran merangkap Pengerusi Koperasi Persatuan Usahawan Digital IKS Sabah Berhad, Azlee Okee.