IPOH: Individu yang ditahan berhubung penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah merupakan seorang anggota polis berusia 26 tahun berpangkat Lans Koperal.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, anggota tersebut bertugas di Balai Polis Slim River dan sudah berkhidmat selama lima tahun.
“Saya sahkan bahawa subjek yang melalukan kes ini setakat yang disiasat, mengesahkan bahawa diperlakukan oleh seorang anggota daripada Balai Polis Slim River.
“Pasukan siasatan daripada Muallim telah pun menjalankan siasatan berasaskan kertas siasatan orang hilang itu dan telah menunjukkan tempat di mana berlakunya kejadian tersebut.
“Apabila kita semak tempat berlaku kejadian tersebut berlaku di Selangor. Sehubungan itu kertas siasatan akan dibuka oleh IPK Selangor,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas untuk pelantikannya sebagai Ketua Polis Perak yang baharu di sini hari ini.
Dalam perkembangan kes sama, individu tersebut yang dipercayai teman lelaki Nur Farah Kartini telah ditahan polis semalam dan direman seminggu bermula hari ini sehingga 22 Julai.
Perintah tahanan reman ke atas anggota polis tersebut dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Nurul Mardhiah Mohammed Redza dan siasatan terhadap suspek dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Nur Farah yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati di ladang kelapa sawit di Hulu Selangor.
Jelas Azizi, pada 11 Julai lalu pihak polis telah menerima laporan yang dibuat oleh rakan kepada mangsa bahawa Nur Farah Kartini tidak kembali ke tempat kerja.
Beliau memuji pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim yang bertindak pantas sebaik sahaja menerima laporan kehilangan tersebut.
Ketika ditanya tentang persoalan dalam media sosial mengapa individu ditahan hanya difokuskan sebagai penjawat awam dan bukan anggota polis, beliau menjawab bahawa anggota polis juga merupakan penjawat awam.