Suspek mengalami cedera di tangan kiri akibat tertembak senapang bakakuk ketika berburu di Kampung Panganitan, Nabawan pada Ahad.
KENINGAU: Hasrat seorang petani memburu payau berakhir dengan kesakitan apabila tertembak diri sendiri dengan senapang bakakuk yang dibawanya di kawasan kebun di Kampung Panganitan, Nabawan pada Ahad.
Akibat kejadian itu, lelaki berusia 28 tahun itu putus empat jari tangan kiri dan cedera di dada kiri.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, lelaki itu dipercayai tertembak diri sendiri setelah terjatuh ketika menuruni cerun bukit di kawasan kebun di kampung berkenaan kira-kira pukul 7 malam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, suspek keluar berburu berseorangan kira-kira pukul 4 petang dengan membawa selaras senapang bakakuk buatan sendiri.
“Kawasan yang dituju hanya tiga kilometer atau 30 minit berjalan kaki dari kampungnya. Ketika sedang berjalan menuruni kawasan cerun bukit, suspek telah tergelincir menyebabkan picu bakakuk telah terganggu dan mengakibatkan letupan terkena pada tangan kiri dan dadanya.
“Suspek telah terbaring dalam kesakitan dan mengikat lengan sebelah kirinya dengan kain bagi mengelak pendarahan yang lebih banyak.
“Bimbang suspek tidak pulang ke rumah sejak keluar berburu, abangnya bertindak mencarinya dan suspek ditemukan dalam keadaan lemah.
“Abang suspek membawanya ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut keterangan suspek, senapang bakakuk itu diwariskan oleh neneknya sejak dua tahun lepas untuk menjaga kebun mereka daripada serangan haiwan liar.
Akibat tembakan itu, empat jari suspek putus dan suspek mengalami patah tulang rusuk kiri dan sebiji anak peluru masih berada di tulang rusuk dan tiga berada di lengan kiri.
Yampil berkata, tangkapan telah dilakukan terhadap suspek pada pukul 3.50 petang semalam mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 atas kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen. Turut dirampas senapang bakakuk buatan sendiri beserta kelongsong peluru tabur.
Suspek berada dalam keadaan stabil dan masih ditahan di dalam wad Hospital Keningau untuk pemantauan rapi.


































