Harith Danial (kanan) sewaktu beraksi menentang Abdallah Eissa pada suku akhir Kejohanan Skuasy Remaja Dunia di Houstan, Texas, Amerika Syarikat, awal pagi tadi. – Ihsan WSF
PETALING JAYA: Pemain remaja negara, Harith Danial Jefri menjadi wakil tunggal Malaysia mara ke separuh akhir pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia di Houstan, Texas, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, anak jati Sarawak itu beraksi cemerlang untuk membenam pilihan 9/16, Abdallah Eissa dari England 11-6, 11-9, 11-6 dalam masa 33 minit pada suku akhir.
Kemenangan tersebut menyaksikan Harith menjadi pemain skuasy lelaki pertama Malaysia berjaya melangkah ke separuh akhir selepas Ng Eain Yow berjaya berbuat demikian pada 2016.
Harith berkata, mara ke separuh akhir merupakan satu pencapaian yang baik dan sasaran awalnya ialah menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.
“Saya gembira dengan persembahan saya dan berjaya menewaskan Abdallah menerusi keputusan straight set.
“Saya perlu kekal fokus dan beraksi dengan tenang pada separuh akhir nanti,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan.
Pada separuh akhir, Harith bakal berdepan Na Joo Young bagi perebutan tempat ke perlawanan akhir, selepas pemain Korea Selatan itu mengejutkan juara bertahan dan juga pilihan kedua, Mohammad Hamza Khan dari Pakistan 11-9, 11-9, 7-11, 3-11, 11-5 dalam satu lagi suku akhir.
Peluang Harith untuk melangkah ke perlawanan akhir amat cerah kerana dia pernah menewaskan Joo Young 11-9, 6-11, 11-6, 12-10 pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Remaja Asia di Islamabad, Pakistan, Jun lalu.
Harith, 18, memberitahu, walaupun dia menewaskan Joo Young, bulan lepas, ini tidak bermakna pada separuh akhir laluan mudah menantinya.
“Jujur saya katakan, saya memang tidak meletakkan harapan yang besar, saya cuma mahu memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi wakil Malaysia, Low Wa Sern terkandas di suku akhir selepas dia kecundang di tangan pemain India, Shaurya Bawa dalam pertarungan sengit 11-2, 4-11, 12-10, 8-11, 10-12 dalam masa 79 minit.