Amir Hamzah Azizan
PUTRAJAYA: Intipati Belanjawan 2025 yang bakal dibentang 18 Oktober ini memberi fokus kepada perlindungan sosial dan pembinaan lebih banyak infrastruktur untuk manfaat rakyat.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peruntukan terbesar kewangan negara itu dirangka berdasarkan kerangka Ekonomi Madani yang sudah mencapai setahun pelaksanaannya untuk membantu pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.
Bagaimanapun, menurut beliau, segala langkah yang mahu dilaksanakan mempunyai cabaran terutamanya untuk mengurangkan defisit kewangan.
Oleh itu, kata beliau, bagi mencapai matlamat itu kerajaan memerlukan model baharu termasuk melakukan langkah menggalakkan pelaburan langsung domestik (DDI).
“Sebagai contoh usaha tambah baik infrastruktur seperti dilakukan awal tahun ini menaikkan tarif air kerana kadar lama tidak lagi mampan selepas 42 tahun tidak berlaku kenaikan.
“Bila kita tidak bayar tarif air, syarikat air tidak mahu membuat pelaburan, paip akan bocor, rakyat tidak dapat air menyebabkan mereka marah. Jadi kadar tarif air ini penting untuk membantu syarikat air dalam menyediakan infrastruktur lebih baik,’ kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kata Amir, selepas mengalakkan DDI kerajaan juga mengambil langkah seterusnya untuk melihat pelaburan asing dibawa masuk ke negara ini.
Menurut beliau, pada tahun lalu, kerajaan paling banyak menandatangani pelaburan langsung asing (FDI) sekali gus membuktikan keyakinan pihak luar terhadap kedudukan ekonomi negara.
Kata beliau, jumlah DDI juga turut melonjakkan ekonomi ke arah lebih baik apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merekodkan 4.4 peratus pada suku keempat tahun ini berbanding 2.7 peratus sebelum ini.
“Unjuran kerajaan KDNK mencapai 4 ke 5 peratus dengan suku pertama dalam 4.3 peratus. Jika tiada perkara-perkara luar biasa, kita boleh capai sasaran.
“Perkara besar sekarang semua orang bercakap tentang perkara ini, mereka yakin dengan ekonomi Malaysia tetapi isunya orang dalam negara seolah-olah tidak yakin.
“Namun saya sendiri yakin dan insya-Allah akan datang ekonomi Malaysia semakin baik,” katanya.