KOTA KINABALU: Kekemasan landskap di Bandaraya Kota Kinabalu merupakan salah satu elemen yang diberi keutamaan tertinggi oleh pasukan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Menurut DBKK dalam kenyataannya, ia termasuk merencanakan pelan tindakan penyelenggaraan, pemeriksaan, pemangkasan pokok dan pemotongan rumput secara teratur bagi mencapai tahap yang memuaskan kepada penduduk bandar raya, juga kepada pelancong dalam dan luar negeri.
Hal ini termasuk memastikan keadaan rumput di atas bahu jalan dan jalan raya utama/jalan protokol sentiasa kelihatan kemas dan tidak semak, sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya.
Pasukan Jabatan Landskap, DBKK baru-baru ini telah membuat pemeriksaan dan pemantauan keadaan rumput di jalan raya utama dan jalan protokol sekitar Kota Kinabalu.
“Hasil tinjauan pasukan kami telah mendapati terdapat beberapa kawasan yang berumput panjang dan perlu diselenggara serta-merta oleh syarikat konsesi yang dilantik.
“Melihat kepada keperluan ini, syarikat konsesi yang telah diberi tanggungjawab untuk membuat kerja-kerja penyelenggaraan dan pemotongan rumput di atas bahu jalan serta jalan utama/jalan protokol sekitar Bandaraya Kota Kinabalu adalah diseru untuk memainkan peranan dengan lebih efektif dan mengkaji semula kadar kekerapan penyelenggaraan yang dijadualkan.
“Jadual penyelenggaraan yang kerap akan mampu mengelak rumput tumbuh terlalu panjang dan semak sehingga membentang imej Kota Kinabalu yang kurang menarik dan memberi ketidakselesaan kepada warga bandar raya.
“Peragaan landskap bandar raya yang cantik, indah dan kemas adalah elemen yang semestinya menyuntik nilai tambah tarikan Kota Kinabalu sebagai Bandaraya Peranginan Semulajadi,” kata kenyataan itu.
Dengan itu, kesepakatan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan wajar diusahakan bersama, demi kepentingan warga bandar raya, tambahnya.


































