Hendrus Anding
KOTA KINABALU: Pelbagai program dan usaha dijalankan oleh Kerajaan melalui Jabatan Pertanian Sabah dalam menangani isu tanah terbiar, sungai dan juga meningkatkan hasil perikanan di negeri ini.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding berkata, jabatan tersebut telah dan sedang melaksanakan beberapa program di bawah biayaan Kerajaan Persekutuan untuk mengusahakan serta memanfaatkan tanah terbiar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.30 Bongawan pada tahun 2024.
“Antara program yang dijalankan ialah Projek Pembangunan Tanaman Kelapa (Kelapa Pandan) seluas enam hektar melibatkan tiga orang petani di Kg. Mandahan dan Kg. Jawa Kimanis.
”Selain itu, Kerajaan juga menjalankan Projek Insentif Pembangunan Tanaman Nanas MD2 dan Nanas Bernilai Tinggi seluas empat hektar tanaman nanas MD2 di Kg. Sinar Baru, Kimanis,” katanya.
Pada tahun 2024, katanya, jabatan tersebut telah melaksanakan Projek Pemulihan Tanah Sawah Terbiar di bawah biayaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Menurut beliau, projek ini dilaksanakan di Kg. Kawari (56.22 hektar) dan Kg. Langkawit (54.88 hektar) dalam daerah Papar dengan jumlah keluasan 111.11 hektar dan melibatkan seramai 91 orang pesawah.
”Kementerian saya melalui jabatan tersebut telah dan sedang membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Bongawan seluas 24 hektar dengan tanaman nanas MD2 melibatkan seramai lima orang peserta,” kata beliau.
Hendrus menambah, Kementerian beliau melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sabah (JPS) sedang melaksanakan Kerja Pengorekan dan Pembersihan Taliair di Skim Pengairan Bongawan.
“JPS juga sedang melaksanakan kerja-kerja pengorekan sistem perparitan sawah Bongawan yang melibatkan lima sistem parit dengan jumlah kepanjangan 4,452 meter.
“JPS juga akan melaksanakan penyelenggaraan rangkaian jalan ladang dengan jumlah kepanjangan sebanyak 3,030 meter di Skim Pengairan Bongawan, Papar.
“Kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang dan akan dilaksanakan ini melibatkan jalan, parit dan taliair untuk memastikan tanah terbiar dapat diusahakan dengan aktiviti pertanian yang sesuai,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, kelmarin.
Beliau menjawab pertanyaan Dr. Daud Yusof (Bongawan), Datuk Jonnybone J Kurum (Telupid), Datuk Poon Ming Fung @ Frankie (Tanjong Papat), Mohd. Tamin @Tamin Zainal (Pantai Manis) dan Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari (Petagas).
Dr. Daud bertanya adakah Kerajaan mempunyai perancangan untuk mengusahakan dan memanfaatkan tanah terbiar di kawasan Bongawan untuk tujuan pertanian serta membina dan menyelenggara jalan serta sistem perparitan di kawasan tanah terbiar untuk memudahkan pemilik tanah mengusahakan aktiviti pertanian, manakala Jonnybone bertanya apakah status stesen Pertanian Kg. Kiabau, Telupid dan adakah tanah ini akan dimajukan atau diserahkan kepada kampung.
Poon bertanya apakah inisiatif yang diambil oleh Kerajaan untuk menyokong para nelayan di Sandakan dan meningkatkan hasil perikanan di kawasan ini dan Mohd. Tamin bertanya adakah pihak Kementerian mempunyai perancangan mendalamkan muara sungai di kawasan Pantai Manis. Ahmad Sah pula bertanya apakah solusi berkenaan masalah banjir di kawasan putatan terutamanya kampung kampung di sepanjang Sungai Ketiau yang mana sungai ini menghubungkan beberapa kampung sehingga ke Penampang.
Hendrus berkata, status terkini tanah Stesen Pertanian Kg. Kiabau dalam proses pengukuran dan dalam perancangan untuk mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jabatan Pertanian Sabah dalam RMK13.
Sementara itu, katanya, Jabatan Perikanan Sabah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyokong para nelayan di Sandakan dan seluruh Sabah bagi meningkatkan hasil perikanan.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Pengembangan dan Perkhidmatan Perikanan Marin yang menyampaikan maklumat terkini mengenai subsektor perikanan tangkap kepada nelayan-nelayan.
“Program ini juga menawarkan pelbagai khidmat nasihat, kursus dan latihan in-situ kepada nelayan-nelayan melalui program bimbingan nelayan,” katanya.
Selain itu, turut diadakan Program Transformasi Sosio-Ekonomi Nelayan dan Penternak Miskin/Termiskin yang mensasarkan kepada Ketua Isi Rumah Termiskin (KIRT) yang berdaftar di dalam Sistem e-Kasih. Pakej yang ditawarkan ialah set peralatan menangkap ikan seperti kotak ikan berinsulasi, bot gentian kaca, enjin sangkut, pukat dan sebagainya serta kursus yang bernilai RM18,000.
“Terdapat juga Program Peningkatan Pendapatan Nelayan Setempat untuk membantu para nelayan sepenuh masa dalam kategori miskin dengan memberi bantuan peralatan menangkap ikan seperti enjin sangkut, pukat, kotak ikan berinsulasi, bot dan sebagainya.
“Melalui program ini setiap nelayan diperuntukkan bantuan peralatan bernilai RM1,000 hingga RM10,000 seorang,” katanya.
Lain-lain usaha ialah seperti Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Pantai, Projek Peningkatan Sumber Perikanan Pelagik, Program Interaksi Bersama Nelayan dan Program Pelesenan Bergerak.
“Kementerian saya melalui Ko-Nelayan menyediakan pelbagai program bantuan pembangunan untuk menyokong para nelayan di Sandakan khususnya pembiayaan kewangan dalam bentuk kredit mikro (soft loan) dan lain-lain,” katanya.
Berkenaan isu sungai, Hendrus berkata, Kementerian beliau melalui JPS sememangnya mempunyai perancangan mendalamkan muara sungai di kawasan Pantai Manis.
Katanya, kerja-kerja mendalamkan muara sungai di kawasan Pantai Manis akan dimasukkan ke dalam permohonan projek/program Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), 2026-2030.
Tambah beliau, Kementeriannya melalui JPS juga telah mengambil inisiatif untuk mengurangkan masalah banjir di kawasan Putatan dan kawasan sekitarnya dengan melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Ketiau, Sabah dengan peruntukan biayaan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, projek ini telah dilaksanakan bermula 1 November 2021 dan dijangka siap pada 30 November 2025. Projek ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Sungai Ketiau dan sistem perparitan sedia ada.
“Bagi mengurangkan masalah banjir di daerah Penampang, JPS sedang melaksanakan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog, Sabah – kerja-kerja menaik taraf Sungai Putatan dan kerja-kerja berkaitan (Pakej 3), Sabah di bawah biayaan Kerajaan Persekutuan.
“Projek ini telah mula dilaksanakan pada 12 Jun 2017 dan sepatutnya siap pada 11 Disember 2020 namun dilanjutkan ke 31 Disember 2024 memandangkan terdapat isu tanah, setinggan, perkuburan dan utiliti yang menjadi punca utama kelewatan pelaksanaan projek.
“Projek ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf Sungai Putatan,” jelas beliau.