Anthony Loke Siew Fook. Foto : Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Australia bagi memberi pampasan kepada waris mangsa nahas pesawat Double Six yang berlaku pada 1976 dan meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana Laporan Akhir Siasatan Kemalangan Udara Pesawat Sabah Air pada 6 Jun 1976 yang diklasifikasi semula dan diumum kepada awam pada 11 April 2023 jelas menyatakan punca nahas disebabkan kesilapan manusia.
“Ini bukannya berpunca daripada kesalahan teknikal atau sabotaj daripada mana-mana pihak.
“Oleh itu, Kementerian Pengangkutan tidak bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan Australia bagi memberikan pampasan kepada waris mangsa,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) jika kementerian bercadang berunding dengan kerajaan Australia untuk memberi pampasan kepada waris keluarga mangsa nahas pesawat Double Six.
Dalam nahas itu 11 nyawa terkorban termasuk barisan pimpinan kanan Kerajaan Negeri Sabah ketika itu iaitu Fuad; Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah); Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).
Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah); Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah); Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia).
Selain itu, Koperal Said Mohammad (pengawal peribadi kepada Ketua Menteri Sabah); Johari Fuad Stephens (anak kepada Ketua Menteri Sabah) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ) turut terkorban.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 April tahun lalu berkata, keputusan mendedahkan laporan akhir tragedi Double Six itu dibuat selepas mengambil kira tuntutan oleh keluarga waris selain pandangan rakyat Sabah yang inginkan maklumat terperinci berhubung kejadian berkenaan.
Dalam kejadian itu, pesawat dikendalikan Sabah Air membawa rombongan berkenaan yang dalam perjalanan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan, ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.