PETALING JAYA: Tentera Darat (TDM) mengesahkan pesawat M81-11 (Agusta L109H) melakukan pendaratan kecemasan yang berlaku semasa sesi Latihan Penerbangan Malam Kursus Army Aviation Basic Officer Course di Landasan Terbang Kem Mahkota Kluang, Johor pada jam 1.35 pagi hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, insiden itu melibatkan tiga anak kapal yang terdiri daripada seorang jurulatih helikopter, penuntut kursus dan seorang kru kuatermaster.
“Hasil awal pemeriksaan perubatan mengenal pasti beberapa kecederaan yang dialami oleh pegawai dan anggota seperti patah tulang belakang dan luka-luka di beberapa bahagian anggota badan serta lain-lain kecederaan yang masih belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kesemua anak kapal dalam keadaan stabil dan telah dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor bagi menerima rawatan lanjut.
Dalam situasi tersebut, tindakan TDM adalah Henti Terbang Sementara (temporary grounded) bagi helikopter berkenaan.
Menurut kenyataan, retifikasi dan pemeriksaan akan dilakukan untuk mengembalikan status terbang pesawat dengan segera.
Dalam masa yang sama, satu Lembaga Siasatan akan disidangkan bagi mengenal pasti punca kejadian.
TDM juga memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan mendoakan agar kesemua anak kapal diberikan kesembuhan.
































