KOTA KINABALU: Dakwaan video tular bahawa seorang pelajar lelaki sebuah sekolah di Tebobon di sini dipukul atau terlibat pergaduhan adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, seorang guru daripada sekolah berkenaan telah membuat laporan polis yang menyatakan bahawa video tular pelajar itu telah dipukul atau terlibat pergaduhan adalah tidak benar.
Katanya, video tular tersebut mengatakan seorang pelajar sekolah dipukul pengsan di Kota Kinabalu pada 26 Jun 2024, jam lebih kurang 6.30 pagi bertempat di tepi jalan berdekatan di salah sebuah sekolah di Tebobon.
“Seorang guru di sekolah berkenaan dimaklumkan oleh orang awam berkenaan seorang pelajar lelaki Tingkatan 3 terbaring di tepi jalan berdekatan sekolah tersebut.
“Setelah pemeriksaan dibuat oleh guru berkenaan, tiada kecederaan yang dialami oleh pelajar tersebut,” kata Kasim dalam kenyataan hari ini.
Siasatan masih dijalankan, katanya sambil menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman video atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sebelum mendapat pengesahan dari pihak penguat kuasa.


































