Arthur Sen
KOTA KINABALU: “Bila masa Parti Bersatu Sabah (PBS) ada memohon mahu bekerjasama dengan UMNO?” Demikian kata Naib Presiden PBS, Datuk Arthur Sen sebagai mengulas ucapan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Bung Moktar tidak perlu guna PBS sebagai bahan ucapan provokasi untuk meminta perhatian. Beliau berperangai macam budak-budak. Kamu cakap tidak mahu kerjasama dengan PBS. tapi bila pula PBS ada mohon mahu kerjasama dengan kamu?” kata Arthur dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dalam pilihan raya soal menang atau kalah itu adalah ketentuan majoriti pengundi.
“Negara ini demokrasi. Biarlah rakyat pilih sama ada UMNO atau PBS untuk membentuk kerajaan.
“Sejarah menunjukkan PBS bermula sebagai parti pembangkang lepas itu menjadi kerajaan solo, pembangkang semula, kerajaan lagi, pembangkang dan sekarang kerajaan. Kita sudah biasa, yang penting kita sudah bertahan dengan prinsip asas memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63, martabat manusia dan keselamatan serta kerakyatan.
“In and out of BN or working together with UMNO or against UMNO is not an issue. Kenapa Bung juga berpakat dengan Presiden Warisan untuk menjatuhkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun Presiden Warisan itu adalah bekas pemimpin UMNO dan menjatuhkan UMNO Sabah selepas PRN 2018?” tegasnya.
Arthur berkata, ramai orang kata, keputusan MAT UMNO mengambil ketetapan “No Anwar, No DAP”, kenapa UMNO mahu kawan juga?
“PBS selepas PRN 1994 pun dikhianati oleh lompatan dua ADUN yang menjadikan UMNO sebagai kerajaan Sabah. PBS terima hakikat ini dengan tabah.
“Pada saya lebih baik mengkhianati Bung UMNO daripada mengkhianati MA63 dan Royalti Minyak untuk rakyat Sabah. Orang macam Bung tidak boleh pakai. Tiada pendirian teguh. Biarlah dia berkawan dengan parti yang dia sendiri cakap mesra PTI. Saya jangka dia pun bukan setiakawan kepada mana-mana parti sebab sejarah “Langkah Kinabalu” telah menjadi bukti,” katanya.






























